Pemenang anggap anugerah bukti kerajaan tak pinggir generasi muda
Putrajaya, 15 Mei 2014 – Perit jerih Ravichandaran Subramaniam, 27, bergiat dalam pelbagai pertubuhan belia sejak 14 tahun lalu, terbalas apabila beliau diumumkan pemenang kategori Pemegang Emas yang julung kali diperkenalkan pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2014.
Menyifatkan kemenangan itu bukti golongan belia tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan, Tokoh Belia Negeri Sembilan dan Pemenang Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Sembilan 2013 itu, berkata banyak peluang yang tersedia tidak dimanafaatkan sebaik mungkin oleh generasi muda masa kini.
Terus berusaha
“Sebelum ini, ramai yang anggap belia sering dipinggirkan kerajaan, tapi semua itu dapat ditepis dengan anugerah yang saya menangi. Bagi saya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya gembira jadi orang pertama menang kategori yang baharu dipertandingkan ini.
“Boleh dikatan usaha saya selama ini berbaloi apabila titik peluh “dibayar” dengan pengiktirafan. Pencapaian ini harus menjadi pencetus semangat kepada anak muda lain untuk terus berbakti dalam apa saja bidang yang diceburi,” katanya selepas majlis penyampaian APBN 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Ravichandaran menerima RM10,000, pia;a dan sijil penghargaan, namun baginya yang pernah menjadi fasilitator bagi program Latihan Peringkat Asia Pasifik, peluang duduk semeja bersama Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak pada majlis itu, menjadi pembakar semangat untuk beliau berusaha sehingga berjaya di peringkat antarabangsa.
Semangat lebih kuat
Pemenang kategori khas, dr Louisa Shobini Ponnampalan yang membawa pulang wang tinai RM10,000 susulan pembabitannya dalam projek penyelidikan mengenai ikan lumba-lumba serta dugong, mahu manfaatkan hadiah itu untuk mendalami kajian mengenai laut terbabit.
“Pengiktirafan ini bukti kerajaan menyokong padu isu alam sekitar dan secara tidak langsung mencetuskan semangat lenih kuat untuk saya terus membuat kajian berkaitan alam sekitar. Saya akan terus bantu belia untuk menyemarakkan semangat cintakan alam sekitar,” kata pemegang
Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Universiti Hawaii ini.
Bantu usahawan baharu
Pemenang Kategori Wanita, Wan Adilah Wan Awang yang juga usahawan ikan serta pokok hiasan di Besut, pula gigih membangunkan serta melahirkan usahawan baharu dalam kalangan belia di Terengganu, berdasarkan pengalamannya sendiri.
Kategori Lelaki dimenangi Jufitri Joha atas usahanya sebagai pengasas dan penggerak projek pembangunan belia serta kesukarelaan seperti Kumpulan Penjejak Tamadun Dunia dan Kumpulan Alam Sekitar. Beliau di antara tokoh yang menubuhkan dan menggerakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia selain menjadi Timbalan speaker Negeri Sembilan.
Wan Adilah dan Jufitri, masing masing membawa pulang RM20,000, piala serta sijil penghargaan. Pemenang Kategori Pertubuhan Belia dimenangi Persatuan Belia Tenggaroh 2, Johor yang menerima hadiah wang tunai RM50,000, piala iringan dan sijil penghargaan.