MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pengecualian bayaran semula pinjaman PTPTN satu berita baik buat mahasisw

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong inisiatif Kerajaan dalam memberikan semula keistimewaan kepada pelajar yang membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman mereka kepada pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.

MBM menyifatkan perkara ini satu berita baik kepada golongan mahasiswa sebagai pilihan untuk mendapatkan nikmat ‘free education’ sepertimana yang sering dituntut oleh mereka. Sudah tentu, ianya bersyarat kerana ia membabitkan sejumlah wang yang besar untuk dibiayai.

PTPTN berperanan penting dalam membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi dan pengurusan kewangan selain menjadi tonggak kejayaan pembangunan modal insan negara. Namun, beban hutang yang ditanggung pelajar di samping kepincangan ekonomi semasa yang tidak stabil menghimpit kehidupan golongan siswazah untuk beralih ke fasa pekerjaan.

Dalam satu kajian yang dilakukan The Centre dari bulan Ogos hingga September 2021, 59% responden berkata hutang pinjaman pendidikan menyumbang kepada tekanan kewangan manakala 57% berkata hutang pinjaman pendidikan menyumbang kepada kelewatan membeli rumah. 77% daripada responden bersetuju bahawa anak muda tidak sepatutnya berhutang untuk mencapai pendidikan tinggi.

Justeru, MBM berharap golongan mahasiswa dapat merebut peluang ini dengan menjadikan ianya satu motivasi untuk menuntut ilmu dengan lebih tekun bagi mendapatkan pengecualian pembiayaan. Pastinya, satu tekanan dalam bentuk beban hutang yang besar akan dapat diselesaikan dengan sebuah kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan dan menjadikan simpanan pendidikan sebagai satu kelaziman sosial, MBM mencadangkan agar Akaun Pembelajaran Sepanjang Hayat (APSH) diwujudkan secara automatik. Pendaftaran APSH automatik ini akan menjadi kaedah utama untuk skim simpanan sukarela yang diberi insentif oleh kerajaan, serta sebarang insentif tunai atau baucar lain untuk tujuan pendidikan.

Melangkah ke hadapan, kerajaan harus merangka dasar untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti (pengetahuan, kemahiran dan latihan teknikal), terutamanya untuk golongan yang kurang berada serta kurang upaya, tanpa mendorong mereka untuk menanggung hutang yang membebankan.

MOHAMED KHAIRUL AZMAN ABDUL AZEEZ

Naib Presiden

Majlis Belia Malaysia /

Pengerusi

Jawatankuasa Tetap Pendidikan MBM

Bertarikh  : 29 Julai 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »