PENDIRIAN MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) BERKAITAN PERHIMPUNAN GABUNGAN PILIHANRAYA BERSIH DAN ADIL (BERSIH) 2.0
Majlis Belia Malaysia (MBM) menghormati inisiatif Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 untuk menyatakan pandangan terhadap objektif untuk mewujudkan satu suasana pilihanraya yang sihat dalam kalangan rakyat. Ia melambangkan keterbukaan dan kepercayaan MBM terhadap nilai-nilai kebebasan dan demokrasi seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.
Namun begitu, MBM dan badan-badan gabungan serta NGO-NGO yang hadir pada hari ini menentang sekeras-kerasnya cadangan BERSIH untuk mengadakan Demontrasi Jalanan yang kebiasaannya bakal menimbulkan ketidakselesaan, kemudaratan serta kekacauan dalam masyarakat. Pemerhatian MBM selama ini mendapati sebarang perhimpunan dan demontrasi jalanan jarang sekali dapat diadakan secara aman, berhemah dan teratur. Malah ia amat menyusahkan banyak pihak seperti kerosakan harta benda, kerugian perniagaan, ketakutan pada para pelancong serta kesesakan trafik yang amat teruk.
MBM juga mempersoalkan tindakan pihak BERSIH yang disokong kenyataan Ketua Pembangkang yang seolah-olah bercadang untuk mengadakan perhimpunan seumpama ini serupa dengan perhimpunan di luar Negara. Ini menggambarkan sikap serta pendirian pihak BERSIH yang dengan sengaja ingin merosakkan imej Negara pada peringkat antarabangsa.
MBM juga mempersoalkan kewibawaan BERSIH yang turut dianggotai oleh kumpulan-kumpulan yang sebenarnya masih tidak berdaftar atau yang boleh dilabelkan sebagai pertubuhan haram yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan Persekutuan. Justeru, MBM menyeru rakyat khususnya golongan belia agar tidak terperangkap mahupun terlibat kepada pergerakan seperti ini.
MBM juga mahu pihak penganjur BERSIH menghormati pendirian pertubuhan ini kerana MBM mewakili lebih 3.9 juta belia yang berdaftar di bawah lebih 7,000 pertubuhan belia yang juga mempunyai hak untuk memastikan keamanan, kestabilan dan perpaduan kaum terjaga sebaiknya di Negara ini.
Bagi tujuan itu, MBM sedia untuk berdepan dengan pihak BERSIH samada dalam bentuk dialog, wacana mahupun debat untuk menyatakan pandangan semua badan gabungan belia di seluruh Negara ini. MBM juga telah menghantar surat rasmi kepada YBhg Dato’ Ambiga Sreenevasan yang mengetuai BERSIH untuk menyatakan pandangan ini.
Ketegasan MBM ini juga akan disusuli dengan gerak kerja MBM untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sejuta tandatangan daripada rakyat Malaysia khasnya ahli-ahli pertubuhan belia yang turut tidak mempersetujui tindakan pihak BERSIH.
MBM juga akan mendapatkan maklumbalas daripada para penduduk serta pemilik premis perniagaan di sekitar lokasi yang dicadangkan perhimpunan tersebut untuk membuktikan bahawa perhimpunan jalanan tersebut berlawanan dengan kehendak masyarakat.
MBM tidak mahu kebebasan suara dan demokrasi ditafsirkan secara melulu dan sempit sehingga menggadaikan kesejahteraan serta perpaduan rakyat.
Sekian, terima kasih.
MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 22 Jun 2011