MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pendekatan Psikologi Terhadap Pembuli Perlu Dijadikan Dasar Nasional bagi Mencegah Kes Buli Berulang

Oleh :

Tc Sivanesan  Tamil Selvam

Exco Majlis Belia Malaysia /

Psychological First Aider (PFA)

MALAYSIA sekali lagi dikejutkan dengan insiden buli yang mengorbankan masa depan dan kesejahteraan anak-anak kita. Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat menuntut hukuman yang lebih berat terhadap pelaku. Namun persoalan yang perlu kita renungkan ialah, adakah hukuman semata-mata mampu menghentikan kitaran buli?

saya berpandangan bahawa negara perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada pemulihan mangsa, malah kepada intervensi psikologi terhadap pelaku buli. Pendekatan ini bukan bertujuan mengurangkan tanggungjawab mereka terhadap kesalahan yang dilakukan, tetapi untuk mengenal pasti faktor psikologi yang mendorong tingkah laku agresif agar kejadian yang sama tidak terus berulang.

Dalam bidang psikologi, tingkah laku buli sering dikaitkan dengan beberapa faktor risiko seperti emotional dysregulation (kegagalan mengawal emosi), trauma exposure, adverse childhood experiences (ACEs), maladaptive coping mechanisms, social learning behaviour dan kekurangan perkembangan empati (low affective empathy). Sekiranya faktor-faktor ini tidak dikenal pasti melalui saringan awal dan intervensi yang sesuai, individu tersebut berisiko mengulangi perlakuan agresif sehingga ke alam pekerjaan, masyarakat dan keluarga.

Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa sekitar 16–17% remaja pernah menjadi mangsa buli dalam tempoh 30 hari sebelum kajian dijalankan. Pada masa yang sama, kajian tersebut turut menunjukkan peningkatan cabaran kesihatan mental dalam kalangan remaja Malaysia, termasuk simptom kemurungan, kebimbangan dan tekanan emosi. Data ini membuktikan bahawa isu buli tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah disiplin semata-mata, sebaliknya merupakan isu kesihatan mental, pembangunan remaja dan keselamatan sosial yang memerlukan pendekatan menyeluruh.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuhkan sistem intervensi psikologi di sekolah melalui beberapa langkah berikut:

1.         Melaksanakan saringan psikologi secara berkala kepada pelajar yang dikenal pasti mempunyai kecenderungan tingkah laku agresif atau pernah terlibat dalam kes buli menggunakan instrumen yang sah dan diiktiraf.

2.         Memperkasakan peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling supaya skop tugas mereka lebih tertumpu kepada pengesanan awal risiko psikologi, pembangunan kemahiran regulasi emosi, pengurusan konflik dan pembentukan empati dalam kalangan pelajar. Mereka perlu diberikan ruang, latihan profesional dan sumber yang mencukupi untuk menjalankan intervensi yang berkesan.

3.         Mewujudkan sistem pemantauan kesihatan mental pelajar secara sistematik, termasuk rekod perkembangan psikososial, pelan intervensi individu dan mekanisme rujukan kepada ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri apabila diperlukan. Pendekatan ini membolehkan tindakan awal diambil sebelum tingkah laku agresif berkembang menjadi insiden yang lebih serius.

4.         Melaksanakan program pembangunan kemahiran sosioemosi (Social and Emotional Learning – SEL) sebagai sebahagian daripada budaya sekolah. Modul ini perlu memberi penekanan kepada pengurusan emosi, penyelesaian konflik, komunikasi berkesan, empati, daya tahan (resilience) dan tanggungjawab sosial.

5.         Mewujudkan kerjasama rentas agensi antara sekolah, ibu bapa, Kementerian Kesihatan Malaysia, ahli psikologi, pekerja sosial dan komuniti bagi memastikan setiap pelajar yang dikenal pasti menerima intervensi secara bersepadu.

Guru Bimbingan dan Kaunseling tidak seharusnya hanya berfungsi apabila sesuatu kes telah berlaku. Mereka perlu menjadi barisan hadapan dalam membina kesejahteraan psikologi pelajar melalui pendekatan pencegahan, pengesanan awal dan intervensi berterusan. Untuk mencapai matlamat tersebut, beban tugas pentadbiran yang tidak berkaitan wajar dikurangkan supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan mental dan emosi murid.

Kita juga perlu mengubah persepsi bahawa mendapatkan bantuan psikologi adalah tanda kelemahan. Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk intervensi profesional yang mampu mengurangkan risiko keganasan, salah laku disiplin dan jenayah pada masa hadapan.

Negara memerlukan satu kerangka pengurusan kesihatan mental pelajar yang lebih sistematik, berasaskan bukti saintifik dan dilaksanakan secara konsisten di semua institusi pendidikan.

Kesihatan mental bukan lagi isu sampingan, tetapi merupakan asas kepada pembentukan generasi yang berdaya tahan, berempati dan bertanggungjawab.

Setiap kes buli yang gagal dicegah adalah satu kegagalan sistem. Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada pendekatan yang hanya menghukum kepada pendekatan yang mencegah, memulihkan dan membangunkan manusia secara holistik.

Bertarikh : 15 Julai 2026

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »