Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebagaimana 6 pakej sebelum ini diharap terus menjadi talian hayat rakyat yang sedang berhempas pulas menghadapi kesukaran dan keperitan kehidupan.
Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang ia sebagai pelan yang menyeluruh dalam membantu menjayakan Pelan Pemulihan Negara dalam mendepani cabaran akibat pandemik ini walaupun bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) pada hemah MBM masih tidak mencukupi.
Namun MBM sedar dan insaf ia bukanlah perkara yang mudah dengan sumber kewangan negara yang semakin menyusut dan terhad. Memuaskan hati semua orang adalah perkara yang hampir mustahil.
MBM menggesa agar Kerajaan memudah dan menyegerakan bantuan pakej PEMULIH ini kepada Rakyat.
MBM dengan rasa rendah hati ingin membuat beberapa saranan dan nasihat kepada belia dan rakyat Malaysia:
1.) Moratorium dan i-Citra disarankan diambil oleh rakyat yang betul-betul terdesak sahaja kerana jangka hayat pandemik ini untuk berakhir masih tidak menentu. Bantuan yang diberikan dirangka hanya sehingga Disember 2021;
2.) Moratorium walaupun diumumkan tanpa syarat dan automatik, ianya bukan tanpa caj dan faedah. Justeru pemohon dinasihatkan meneliti secara cermat syarat-syarat serta terma rujukan pindaan perjanjian pinjaman dan memahami implikasinya sebelum menandatanganinya;
3.) Menggunakan bantuan sebaiknya untuk membeli barangan keperluan asas dan barangan perlu sahaja;
4.) Khusus kepada belia, agar memanfaatkan bantuan kewangan sebaiknya dan pelbagai inisiatif MyFutureJobs dan Janapreneur yang membantu mendapatkan pekerjaan dan mencipta pekerjaan dan perniagaan sendiri;
5.) Terus mendaftarkan diri untuk divaksin bagi menjayakan agenda besar bagi melandaikan lengkuk jangkitan supaya SME khususnya boleh beroperasi secepat mungkin pada Fasa 2 pelan pemulihan.
MBM akan terus komited membantu Kerajaan dan rakyat bagi berhadapan dengan situasi sukar ini dengan inisiatif Sukarelawan Sokongan Vaksin (MyVAC), Sekretariat Inisiatif Belia Berniaga, Relawan untuk Malaysia (bagi membantu rakyat susah) dan Sukarelawan Sokongan Kesihatan Mental Belia.
Sama-sama kita berdoa agar kita dapat keluar dengan selamat daripada ujian dahsyat ini.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 29 Jun 2021