Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan untuk melindungi pemohon kerja daripada diskriminasi dengan meminda Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak dan pindaan dibuat bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada diskriminasi atas dasar gender, agama, kaum, kelainan upaya, status kahwin, wanita mengandung dan bahasa pertuturan.
MBM difahamkan oleh Women Aid Organisation (WAO) bahawa Kementerian akan menyisihkan pemohon kerja daripada peruntukan anti diskriminasi tersebut. Bagi melindungi beribu-ribu pemohon kerja yang rata-ratanya adalah dalam lingkungan belia, kami menggesa pihak Kementerian untuk memasukkan kembali istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan tersebut.
Menurut kaji selidik WAO, kira-kira 40% wanita yang ditinjau melaporkan mereka disoal oleh penemuduga sama ada mereka sedang mengandung atau merancang untuk mengandung. Kajian oleh penyelidik di Cornell University pula mendapati bahawa kaum ibu sering dianggap kurang kompeten dan komited berbanding wanita tanpa anak walaupun mereka mempunyai kelayakan yang sama. Hal ini bererti diskriminasi oleh bakal majikan terhadap kaum ibu menyebabkan ramai wanita berpotensi tinggi diketepikan semasa fasa temuduga.
Malaysia sepatutnya melakar satu dasar baharu yang berjaya menarik variasi dalam kalangan pekerja di mana-mana sektor sekalipun. Sudah sampai masanya industri sumber manusia kita menggunakan kayu ukur merit dan kompetensi dalam melaksanakan tugas berbanding latar belakang kaum, agama dan status perkahwinan. Statistik kadar penyertaan tenaga buruh mengikut gender di Malaysia menunjukkan peratusan penyertaan yang masih perlahan untuk kaum wanita. Jika ini berterusan, mustahil Malaysia akan mencapai dasar 30 peratus kepimpinan wanita yang berkemahiran tinggi. Kita tidak mahu wanita hanya menjadi pemenuh kuota di atas tetapi realiti di bawah tidak menunjukkan data yang tepat dan holistik.
MBM berharap agar desakan ini dapat diambil kira dan kerajaan memandang serius kepada ruang pengambilan pekerja yang masih disempitkan dengan diskriminasi ini. Hak untuk menerima pendidikan dan melakar kejayaan juga harus digandingkan dengan akses terhadap pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan belia kita.
NURUL-HUDA MOHAMED AFANDI
NAIB PRESIDEN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh : 1 September 2019