MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pemimpin belia wajar jadi pemulih negeri mengambil alih kepimpinan negara

Rata-rata belia dan rakyat Malaysia terlalu bimbang, kesal, kecewa dan bosan dengan perkembangan politik tanahair yang tidak kunjung sudah ditambah pula dengan ujian Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Majlis Belia Malaysia (MBM) juga tidak terkecuali namun fokus MBM tetap diberikan bagi membantu ekonomi belia yang sedang berhempas pulas memastikan survival kehidupan harian. MBM berasa kesal kerana segala perancangan jangka panjang untuk belia dan Negara terkesan dan tidak banyak dapat dilakukan jika keadaan berterusan tidak menentu.

Justeru, MBM menegaskan sudah tiba masanya pemimpin belia yang beretika dan berpengalaman memimpin organisasi belia seperti MBM dan badan gabungnnya menjadi apa yang disifatkan oleh Pendeta Zaaba sebagai pemulih negeri dengan bertanding dalam pilihanraya akan datang sekaligus mengambil alih kepimpinan negara.

Ini merupakan masa yang tepat bagi pemimpin belia yang beretika dan berpengalaman menjadi penunjuk jalan keluar kepada krisis politik negara yang rata-rata didominasi oleh kepimpinan senior yang mewarisi bagasi sejarah pertembungan dan masalah peribadi. Kepimpinan politik senior yang sewajarnya menjadi teladan kepada generasi muda semasa sebaliknya hampa.

Untuk itu, MBM merasakan perlunya :

1.) Pemimpin belia bergandingan dengan pemimpin politik senior yang baik bagi mengambil alih kepimpinan negara dengan menawarkan sesuatu agenda yang lebih segar dan futuristik. MBM mempertegaskan pentingnya kombinasi dan gandingan  senior yang berhikmah dan junior yang bersemangat dan mempunyai banyak idea segar untuk mentadbir dan membina Negara;

2.) Pemimpin belia perlu menginsafi bahawa ini merupakan amanah yang amat berat dan akan dipersoalkan di hari akhirat bukan untuk berebut berkuasa ;

3.) Pemimpin belia membawa agenda kepimpinan beretika yang bebas rasuah dan merendah hati berkhidmat untuk rakyat. Untuk itu, MBM akan terus menggerakkan program pendidikan demokrasi Sekolah Politik MBM 2.0 bagi melahirkan pemimpin belia yang beretika untuk memimpin Negara;

4.) Parti-parti politik sedia menampilkan muka-muka baru yang baik dalam kalangan pemimpin belia yang beretika dan berpengalaman pada PRU akan datang sebanyak 50% selaras dengan ketetapan dan tuntutan Ahli Dewan Tertinggi MBM yang bersidang pada 14 Ogos 2020 yang lepas;

5.) Para pemimpin politik senior yang sudah terlalu lama di arena politik memberikan laluan kepada muka baru sambil fokus mereka wajar diabadikan kepada melakukan perkara-perkara kebajikan yang lebih besar, global dan bersifat negarawan. Jasa dan peranan mereka sebelum ini wajar dikenang dan diucapkan terima kasih. Jiwa besar mereka memberikan laluan kepada muka baru pastinya akan dikenang dalam lembaran sejarah.

Bagi meredakan keadaan politik semasa, MBM menggesa :

1.) Para pemimpin politik meletakkan kepentingan Negara menyelesaikan segera kemelut semasa dengan mewujudkan Kerajaan yang lebih stabil sementara sehingga PRU ke-15 dan Covid-19 reda demi kebaikan kestabilan ekonomi dan masa depan Negara. Pengisytiharan darurat bukan jalan terbaik kerana ia akan memburukkan lagi situasi ekonomi Negara. Pilihanraya mengejut juga bukan pilihan terbaik sewaktu Covid-19 ini;

2.) Para pemimpin politik mendengar titah nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong agar mereka bermuhasabah dan tidak mengheret Negara ke kancah politik tidak menentu. MBM meletakkan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis politik sekali lagi dengan adil dan saksama;

3.) Ketua-ketua pemuda parti politik memainkan peranan sebagai agen pendamai dan bukan agen provokasi yang mengeruhkan lagi keadaan. MBM sebagai badan utama belia yang non-partisan sentiasa menawarkan diri menjadi pemudahcara pendamai kepada sayap-sayap pemuda yang ada di Negara ini untuk duduk semeja membincangkan masa depan belia dan Negara.

MBM menyeru seluruh belia dan rakyat Malaysia sama-sama mendoakan masa depan Negara agar keluar segera daripada kemelut politk, ekonomi dan wabak semasa. Belia dan rakyat Malaysia hanya mahukan Negara yang stabil untuk mereka mencari rezeki untuk terus hidup. MBM hanya menyampaikan suara belia dan rakyat terbanyak.

JUFITRI JOHA

Presiden        

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh  : 19 Oktober 2020 / 2 Rabiulawal 1442H

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »