MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pemilihan Ahli Parlimen Belia secara dalam talian

KUALA LUMPUR 11 Mei 2012 – Sistem pengundian secara dalam talian dilihat sebagai satu kaedah efektif untuk pilihan raya Parlimen Belia yang dijadualkan pada hujung tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, butiran peribadi pengundi seperti umur dan kawasan Parlimen boleh ditentukan menerusi maklumat yang tertera pada kad pengenalan.

Dengan kaedah ini ujarnya, belia yang berada di luar negara turut berpeluang mengundi untuk memilih wakil mereka ke Parlimen Belia.

“Calon-calon juga dibenarkan berkempen secara dalam talian menerusi laman web atau laman blog mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parlimen Belia (Percubaan) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu; Ahli Dewan Negara, Datuk Jaspal Singh; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Tambah Ahmad Shabery, Parlimen Belia dijangka berfungsi sepenuhnya awal tahun depan selepas proses pemilihan selesai.

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan masih ramai belia yang belum memahami matlamat Parlimen Belia diwujudkan.

“Kita tidak mahu Parlimen Belia sekadar berfungsi seperti ‘persatuan bahas’ dan terlalu menumpukan kepada politik kepartian.

“Beberapa jawatankuasa akan diwujudkan dalam Parlimen Belia agar mereka memahami tentang proses penggubalan undang-undang negara,” ujarnya.

Kata Ahmad Shabery, kementeriannya akan membentangkan usul-usul yang dibangkitkan dalam Parlimen Belia untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya oleh Kabinet.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »