MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pemerkasa: Memangkin Taraf Ekonomi Belia Pasca PKP

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac 2021.  Program yang bernilai RM20 bilion ini meyenaraikan sebanyak 20 inisiatif utama termasuklah Program Imunisasi COVID-19, Geran Khas Prihatin 3.0, Kemudahan Mikro Kredit dan banyak lagi. Menarik perhatian MBM adalah Inisiatif ke-19 PEMERKASA iaitu Prihatin Belia.

Prihatin Belia menggariskan lima (5) inisiatif utama. Tiga (3) daripadanya merupakan inisiatif lama yang ditambah baik, manakala dua (2) inisiatif baru diperkenalkan. Inisiatif yang ditambah baik termasuklah program eBelia dengan meningkatkan nilai kredit daripada RM100 kepada RM150, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera. Program baru yang diperkenalkan melalui inisiatif PEMERKASA adalah New Gen Entrepreneur Online Bootcamp dan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).

Bagi MBM, pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri ini amat penting sebagai salah satu proses dalam pelan pemulihan ekonomi rakyat menjelang program vaksinasi yang dijangka dapat diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia pada Februari 2022. Ia merupakan satu bekalan penting untuk belia terutamanya dalam bersiap sedia merancakkan kembali sektor ekonomi negara pasca Covid-19. Ianya jelas sekali dengan melihatkan empat (4) daripada lima (5) inisiatif di dalam Prihatin Belia memberi penumpuan khas untuk sektor keusahawanan belia dengan menawarkan pelbagai bentuk latihan dan peralatan perniagaan.

Selain daripada itu, dalam memperkasa rakyat dan ekonomi, MBM mengesyorkan agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian kepada aspek kesihatan mental. Dengan mengambil kira Laporan Risiko Global 2021 (Global Risks Report 2021), yang diterbitkan oleh World Economic Forum (WEF) bersama Zurich Insurance Group (Zurich), ianya menekankan tentang beban yang dihadapi generasi Pandemial yang terkait dengan prospek ekonomi dan kesihatan mental mereka, akibat pandemik yang telah menyebabkan hilangnya berbagai peluang penting serta menimbulkan kesenjangan digital.  

Laporan berkenaan mencatatkan bahawa prospek ekonomi dan pendidikan yang terbatas mempengaruhi tahap stress yang dialami oleh belia. Didapati 80% belia di seluruh dunia mengalami kemerosotan tahap kesihatan mental selama pandemik. Meskipun tidak kelihatan secara langsung, situasi ini adalah masalah yang sangat penting untuk ditangani kerana ia akan menentukan kualiti pemimpin masa depan dan penggerak ekonomi negara ini.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Tarikh: 18 Mac 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »