MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pembangunan belia secara muzakarah

yo

Wawancara bersama Yo!, 6 Januari 2007

Rekod semasa menunjukkan Malaysia memiliki kira-kira 11 juta belia berumur 15 hingga 40 tahun. Mereka terbahagi kepada empat kumpulan iaitu pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), golongan yang sudah berkerjaya dan bakinya menganggur.

Daripada 11 juta itu pula, cuma kira-kira 3 juta menganggotai 40 agensi belia yang bergabungan sebumbung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM). Kira-kira 9 juta orang lagi bukannya tidak mahu menyertai persatuan belia, tetapi terikat dengan tugasan semasa.

Contohnya pelajar sekolah menengah menjurus perhatian kepada akademik manakala penuntut IPT terikat dengan akta universiti. Masalah belia tidak berpersatuan ini sebenarnya telah lama dikaji selidik untuk penyelesaian terbaik oleh MBM.

Kali ini wartawan YO! Bazli Abdul rahman menebual Presiden MBM, Shamsul Anuar Hj. Nasarah untuk mengetahu wawasan pembangunannya setelah menerajui MBM mulai 25 Jun 2006.

Yo!: Setiap Presiden MBM mempunyai wawasan dan gagasan tersendiri. Bagaimanakah halatuju untuk mencapai matlamat itu?

Shamsul: Saya tidak mempunyai acuan peribadi dalam MBM untuk pembangunan belia. Semua wawasan MBM dibuat secara muzakarah. Saya meneruskan agenda pembangunan seperti yang diasaskan oleh bekas Presiden MBM, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir toyo.

Yo!: Bagaimanakah rangka hala tuju MBM 2007?

Shamsul: Pembangunan MBM 2007 dijuruskan kepada konsep 3K iaitu Kepimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan sebagaimana yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yo!: Bagaimanakah acuan 3K MBM?

Shamsul: Acuan 3K MBM terbahagi kepada lima (5) iaitu ilmu pengetahuan, masalah sosial dan dadah, memasyarakatkan gerakan belia, mengantarabangsa belia Malaysia dan keahlian pertubuhan belia.

Yo: Lima rangka kerja itu walaupun bersifat kecil tetapi memerlukan gerak kerja berpasukan yang cukup mantap. Siapakah penggeraknya?

Shamsul: Kami sepakat mewujudkan 10 jawatankuasa tetap. Setiap jawatankuasa itu pula memikul mandat yang agak besar supaya matlamat MBM berjaya 100 peratus mengikut garis panduan yang dirancang. Sebanyak 10 jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa; Jawatankuasa Hari dan Minggu Belia;Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah ; Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Kepimpinan: Jawatankuasa Industri, Pertanian dan Asas Tani; Jawatankuasa Ekonomi dan Pembangunan Usahawan; JawatankuasaHal Ehwal Wanita dan Keluarga; Jawatankuasa Pentadbiran dan Kesukarelaan; Jawatankuasa Tetap Kewangan dan Jawatankuasa Penerangan, Penerbitan dan Media.

Yo!: Semua jawatankuasa itu nampaknya lebih bersifat pendidikan. Belia mungkin melihat ia tidak menepati ‘permintaan naluri’ orang muda.

Shamsul:Saya faham benar maksud ‘permintaan naluri’ orang muda itu. MBM sedar yang golongan ini juga mahu bersosial. Oleh itu kami mewujudkan lima lagi jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Khidmat Masyarakat dan Rakan Muda; Jawatankuasa Khas Perpaduan dan Intergrasi; Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Jawatankuasa Khas Sukan dan Rekreasi serta Jawatankuasa Khas Kempen Keahlian Pertubuhan Belia.

Yo!: Pentingkah jawatankuasa khas berkenaan?

Shamsul: Jawapannya ialah mustahak. Kita memahami bahawa citarasa dan kehendak orang muda sentiasa berubah termasuk dalam soal kegiatan mereka itu sendiri. Jika dahulu orang muda mudah dipanggil supaya datang ke dewan orang ramai untuk mengikuti ceramah tertentu. Itu dulu… sekarang orang muda tidak gemarkan budaya sedemikian..mereka inginkan satu program belia yang bersifat menyeronokkan. MBM kenalah menggunakan pendekatan untuk memenuhi matlamat golongan ini. Dalam aktiviti yang menyeronokkan belia itulah kita kena terapkan matlamat kita secara bijak.Salah satu daripadanya ialah MBM merangka strategi untuk menggerakkan golongan muda supaya mereka memainkan tanggungjawab yang besar dalam proses pembangunan negara, terutama bagi mencapai Wawasan 2020.

Yo!: MBM ada 3K, 10 jawatankuasa tetap dan lima jawatankuasa khas. apakah program utama MBM bagi musim 2007?

Shamsul: Sehingga kini kami telah menjadualkan lima program utama iaitu Program Keusahawanan Belia, Program Kepimpinan Belia, Bicara Belia Bersama MBM, Bakti Belia dan MBM to The World.

Yo!: Malaysia ada 11 juta belia, cuma 3 juta berpersatuan. Sebagai Presiden MBM yang baru, mungkin antara wawasan anda ialah 9 juta belia lagi akan berpersatuan?

Shamsul:Untuk memastikan semua 11 juta belia menyertai persatuan belia adalah sesuatu yang mustahil. Sebab mereka ada tugasan sendiri seperti di sekolah, di IPT dan di tempat kerja. Cuma MBM mahu memaksimumkan aktiviti supaya belia tahu persatuan belia tetap aktif. Apa yang akan memalukan saya dan para penggerak MBM ialah jika ada orang muda yang tidak tahu langsung wujudnya MBM dan organisasi belia di kawasan masing-masing. Biarlah tujuh juta orang lagi itu tidak berpersatuan asalkan mereka tahu persatuan belia penting dan mereka sentiasa memberikan sokongan padu. Contohnya ialah keahlian dalam parti teras kerajaan Malaysia iaitu UMNO. Walaupun UMNO tahu masih ada orang Melayu tidak menjadi ahli partinya, namum orang Melayu terlibat tahu bahawa UMNO itulah parti utama harapan orang Melayu itu sendiri di Malaysia.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »