MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pemansuhan pelepasan cukai SSPN satu tindakan tidak wajar

Berhubung kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, YB Tuan Steven Sim berkenaan pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 bermula tahun ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan perkara ini adalah satu tindakan yang tidak patut dilakukan serta tidak sesuai dilaksanakan pada ketika ini.

Berdasarkan laporan media, tindakan ini adalah disebabkan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain, sepertimana yang diumum semasa Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Namun, pihak berwajib harus sedar bahawa SSPN adalah satu caruman penting untuk pendidikan anak-anak. Pemotongan cukai bagi pencarum SSPN penting dalam membudayakan tabiat menabung di kalangan warganegara Malaysia bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman sepertimana objektif SSPN itu sendiri.

Sehubungan itu, MBM merasakan pemansuhan pelepasan cukai untuk pencarum SSPN yang sebenarnya cuba membantu rakyat adalah satu tindakan yang tidak patut. Kesan besar juga pastinya akan merugikan SSPN sendiri sekiranya pencarum mengambil tindakan untuk beralih ke alternatif lain dalam membuat pelaburan.

MBM menyarankan agar kerajaan mengkaji semula tindakan ini, dengan mengambil kira cukai-cukai lain yang boleh dibuat penyelarasan semula. Sebagai contoh, kerajaan boleh melihat untuk hanya menurunkan pelepasan cukai dari RM8,000 kepada RM4,000, mengambil kira penambahan pemotongan cukai yang telah diumumkan di dalam Belanjawan 2023.

MOHD IZZAT AFIFI BIN HJ ABD HAMID

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 29 Mac 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »