Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memansuhkan pembayaran elaun kritikal kepada doktor dan petugas kesihatan kerajaan untuk lantikan baharu.
Sebagaimana kita sedia maklum, tugas doktor, jururawat dan paramedik lainnya adalah tidak tertakluk kepada waktu, di mana hospital dan klinik berfungsi 24 jam. Sehubungan itu, para doktor dan petugas kesihatan harus bekerja secara sistem syif atau “on call”. Jumlah jam kerja mereka per minggu juga lazimnya lebih tinggi berbanding profesyen lain. Ini memberi impak yang tinggi pada “quality of life”, juga “work life balance” seseorang doktor dan petugas kesihatan.
Seandainya elaun kritikal ini terus dimansuhkan, dikhuatiri prestasi kerja para doktor dan petugas kesihatan akan terganggu, motivasi kerja akan berkurangan, juga tidak mustahil para profesional kesihatan akan beralih arah ke sektor swasta atau menceburi pekerjaan lain yang lebih memberi pulangan (sindrom overworked and underpaid)
Tambahan pula dewasa ini kita juga berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang mentah dan ketidakstabilan harga minyak.
Elaun Kritikal sebenarnya sangat wajar diperuntukkan kepada petugas kesihatan, dari sudut pandang bahawa nature of job mereka ini tidak putus dari berhadapan dengan kes-kes kritikal yang mengancam nyawa, juga insiden kemalangan tempat kerja (tercucuk jarum, berjangkit sakit dari pesakit yang dirawat) adalah tinggi. (High Risk High Stress Job).
MBM berharap KKM segera mempertimbangkannya semula demi kebajikan doktor dan petugas kesihatan baharu yang rata-ratanya di kalangan anak muda.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 26 Disember 2019