Skim Rumah Pertamaku tingkat kemampuan kumpulan sasaran beli hartanah kediaman
PRIHATIN dengan kebajikan orang muda berpendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan, kerajaan melancarkan Skim Rumah Pertamaku. Manfaatnya, golongan itu boleh membuat pinjaman 100 peratus dari 25 bank bagi membeli rumah berharga RM100,000 hingga RM220,000. Apa lagi yang boleh diharapkan kumpulan sasar daripada inisiatif berkenaan. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS dan HAZIRAH CHE SAB mendapatkan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), DATUK IDRIS HARON dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE untuk berkongsi pandangan mereka.
IDRIS HARON
SPNB adalah antara agensi yang terbabit secara langsung dalam sektor perumahan untuk rakyat. Apa pandangan Datuk mengenai skim ini.
Bagi saya skim ini adalah tindakan tepat kerajaan memenuhi keperluan generasi muda ketika ini yang nampaknya tidak begitu mementingkan usaha memiliki harta kekal seperti rumah. Mereka berdepan kekeliruan memilih keutamaan dan selalunya cenderung memilih membeli kereta walaupun harga kenderaan dan harga rumah sama. Keadaan ini berlaku kerana persekitaran ditunjukkan dalam pemilikan kenderaan dan rumah amat berbeza. Urusan membeli kenderaan amat mudah, mereka cuma perlu meletakkan kad pengenalan dan penyata gaji dan dalam masa seminggu, kenderaan yang dikehendaki sudah boleh dipakai.
Untuk memiliki rumah, mereka memerlukan sejumlah besar wang untuk bayaran pendahuluan 10 peratus selain yuran guaman, yuran pemprosesan dan sebagainya yang mungkin boleh menjejaskan kehidupan seharian. Apabila melihat keadaan ini, kerajaan sedar ia perlu melakukan sesuatu untuk menaikkan taraf hidup generasi muda dengan memudahkan mereka memiliki harta tetap. Bila kerajaan mendengar rungutan berkenaan bayaran pendahuluan 10 peratus itu, skim ini dilancarkan. Saya rasa tidak pernah dilakukan di negara lain. Jadi saya menyarankan generasi muda ambil peluang ini untuk membeli rumah kerana berdasarkan skim berkenaan, bayaran perlu dibuat kepada bank dengan bayaran sewa rumah lebih kurang sama. Bezanya rumah dibeli akhirnya jadi milik mereka. Rumah juga boleh jadi satu bentuk pelaburan kepada mereka kerana belum ada sejarah rumah susut nilai.
Bagaimana pula sudut pandangan pihak pemaju sendiri.
Pemaju adalah pelengkap kepada dasar kerajaan ini. Segala bentuk dasar kerajaan tidak akan sempurna tanpa sokongan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan serta pembabitan orang ramai.
Skim ini diharap menggalakkan pemaju mewujudkan kawasan perumahan secara rancak. Tekanan kepada pemaju sebelum ini ialah tidak dapat mencari pembeli dengan segera kerana pelbagai syarat selain bayaran pendahuluan yang menekan.
Ia mendorong pemaju untuk lebih komited membina rumah yang lebih baik kepada pembeli. Bila itu berlaku, ia turut memberi kesan kepada pembekal seperti bekalan simen dan sebagainya. Saya dapat rasakan jualan akan meningkat kerana pembeli tidak perlu lagi bimbang bayaran 10 peratus, sebaliknya boleh dikatakan mereka cuma cuci kaki apabila masuk rumah baru. Berbanding dengan menyewa rumah, mereka juga perlu menyediakan deposit sekurang-kurangnya tiga bulan.
Adakah wajar skim ini diperluaskan meliputi rumah berharga lebih RM220,000.
Kerajaan membuat dasar ini selepas membuat penyelidikan mengenai pasaran berdasarkan fakta, perangkaan dan sebagainya. Sasaran terbanyak ialah generasi muda yang mampu memiliki rumah dalam lingkungan harga RM80,000 hingga RM220,000 iaitu boleh dikatakan golongan sederhana rendah dan sederhana tinggi. Jika mampu beli rumah berharga RM300,000, mereka dianggap mampu membayar deposit 10 peratus. Jadi bagi saya tidak perlu skim ini diperluaskan kepada rumah berharga melebihi RM220,000.
Jika dibuat perkiraan bagi rumah berharga RM220,000 yang dibayar dalam tempoh 25 tahun, pemilik membayar lebih kurang RM900 sebulan. Harga berkenaan dikira mampu dibayar generasi muda berpendapatan RM3,000. Skim ini dibuat dengan syarat bayaran untuk rumah cuma satu pertiga daripada gaji. Kita juga tidak mahu ada masalah sosial lain yang ditanggung walaupun sudah memiliki rumah. Rasanya jika separuh gaji terpaksa dibayar untuk rumah saja sedangkan mereka ada keperluan lain, ia tidak wajar.
Sebagai peneraju syarikat pemaju perumahan, bagaimana pandangan Datuk berhubung pendirian pihak bank.
Saya rasa pihak bank memberi reaksi baik kepada skim ini walaupun tidak mendatangkan untung lumayan kepada mereka. Sekarang pun 25 bank bersetuju memberi pinjaman 100 peratus dan sebanyak RM500 juta diperuntuk untuk tujuan itu. Buat permulaan sebanyak 25,000 unit rumah dibina dengan mengambil kira ia berharga RM220,000 seunit.
Apa nasihat Datuk kepada generasi muda dalam konteks merebut peluang di atas inisiatif kerajaan ini.
Saya harap mereka dapat mengambil peluang ini. Skim ini sudah selesaikan masalah utama generasi muda di bandar besar dan seluruh negara secara amnya. Ini bukti kerajaan tidak mahu mengecewakan mereka dan mahu mereka membina masa depan lebih baik dan yakin. Usaha itu tidak akan terhenti di situ saja. Pasti akan ada usaha lain yang dirancang untuk beri kemudahan kepada generasi muda menikmati kehidupan lebih baik. Mereka diberi peluang menggunakan kemudahan yang ada. Rugi jika mereka melepaskan peluang ini kerana Malaysia negara makmur yang banyak memberi keselesaan kepada warga asing. Jika orang asing boleh mencipta kehidupan sempurna di sini dan di negara asal mereka, mengapa pula kita tidak boleh.
Skim ini juga seolah-olah satu isyarat kepada orang muda untuk baiki diri mereka. Bila mereka memiliki harta kekal, mereka perlu bertanggungjawab untuk mengubah cara berfikir, bertindak dan budaya kerja. Mereka perlu belajar menganggap masalah itu satu bentuk peluang dan cabaran. Bila ada cabaran mereka akan berusaha untuk mencari rezeki lebih. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membina keluarga bahagia yang mewujudkan persekitaran kejiranan yang baik, masyarakat yang baik dan seterusnya sebuah negara yang baik.
Bank perlu lebih fleksibel
MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
MBM adalah badan yang menggabungkan pelbagai persatuan mewakili orang muda di negara ini. Bagaimana anda melihat manfaat skim ini secara keseluruhan.
Skim ini usaha murni kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya generasi muda berpendapatan rendah dan sederhana. Yang lebih penting ia ditujukan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah yang bekerja dalam sektor swasta. Skim ini akan mengecilkan jurang taraf kehidupan di antara belia yang bekerja dalam sektor kerajaan dan sektor swasta. Untuk jangka panjang, ia dapat mengurangkan keresahan rakyat yang sememangnya dibelenggu pelbagai tuntutan dalam kehidupan mereka. Berdasarkan maklum balas rakan pimpinan pertubuhan belia serta interaksi saya dengan rakan di laman media baru, kebanyakannya teruja dengan skim ini. Cuma masih ramai yang menginginkan kepastian sejauh manakah institusi kewangan dan bank akan benar-benar membantu memudahkan urusan pinjaman. Sebelum ini, ada pandangan mengatakan institusi kewangan sukar bersikap lebih fleksibel walaupun skim diperkenalkan kerajaan mempunyai konsep dan matlamat begitu baik.
Adakah skim ini sesuai untuk mereka yang baru memasuki alam pekerja terutama graduan yang baru tamat pengajian.
Skim ini memang sangat sesuai untuk generasi muda yang baru bekerja. Realitinya kebanyakan anak muda memasuki alam pekerjaan tanpa modal mencukupi kerana sebahagian besar ibu bapa tidak lagi mampu memberikan bantuan. Sebagai contoh, seorang graduan perlu bergerak sendirian sebaik tamat pengajian di universiti kerana ibu bapa perlu memberi tumpuan kepada anak lain yang masih di bangku sekolah. Saya juga akui kebanyakan anak muda mengutamakan perbelanjaan untuk gajet seperti telefon bimbit, kereta dan kad kredit. Walaupun kedengaran seolah-olah belia inginkan kemewahan, saya berfikir sebaliknya. Hal yang saya sebutkan tadi adalah keperluan untuk menjadikan anak muda berada pada tahap kompeten dengan keperluan semasa.
Tidak mungkin seseorang anak muda dapat berinteraksi dan bergerak dengan maju serta pantas dan mengembangkan kerjayanya jika tidak dilengkapi kelengkapan seperti itu. Malah ramai yang memiliki kad kredit sebagai langkah berjaga-jaga andai kehabisan tunai di tangan. Ini bukan bermaksud anak muda tidak mengutamakan pemilikan rumah tetapi sebenarnya tidak mampu. Untuk mencari wang tunai bagi membayar deposit 10 peratus bukan mudah pada awal kerjaya. Lebih malang lagi, di sesetengah tempat seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, harga rumah meningkat dengan begitu pantas. Ia tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji anak muda ini.
Apakah kekangan orang muda untuk membeli hartanah atau rumah. Adakah deposit 10 peratus itu atau ada masalah lain hingga ramai yang lebih selesa menyewa.
Saya sudah nyatakan tadi bahawa kebanyakan anak muda memasuki alam kerjaya dengan liabiliti yang sedia ada di bahu mereka. Walaupun deposit 10 peratus mungkin sekitar RM10,000 atau RM15,000, mereka memang tiada wang tunai sebanyak itu. Gaji bulanan perlu diagih untuk keperluan diri dan modal untuk kehidupan bagi bulan berkenaan. Selebihnya untuk membayar pinjaman pengajian, hutang keluarga dan menyara keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik.
Gambaran ini bagi anak muda yang kelihatan pandai berjimat dan mempunyai gaya hidup sederhana. Kalau ditambah dengan minat kepada sukan ekstrem, hiburan, mengembara dan sebagainya, keadaan akan lebih sukar. Tuntutan dan hambatan gaya hidup anak muda di negara ini yang dipaparkan mewah juga turut memerangkap. Mereka perlu melabur kepada elemen moden agar tidak dilabel ketinggalan zaman dan tidak ‘up to date’, akhirnya ia mampu menjejaskan persepsi orang ramai termasuk majikan terhadap penampilan keupayaan anak muda ini.
Pada pendapat anda, adakah skim ini perlu diperluaskan kepada rumah berharga RM350,000 dan ke bawah.
Skim ini sangat baik hasil penelitian kerajaan terhadap keperluan rakyat. Saya yakin ini adalah ‘output’ makmal transformasi yang dicetuskan ideanya oleh Perdana Menteri. Namun saya juga maklum bagi wilayah tertentu seperti di bandar besar yang harga rumah secara relatifnya amat tinggi, mungkin boleh dibuat beberapa penyesuaian.
Selain skim ini, apa lagi yang perlu dilakukan kerajaan untuk menangani masalah dan beban generasi muda terutama di bandar besar hingga timbul masalah miskin bandar kerana kos sara hidup tinggi.
Untuk mengatasi isu miskin bandar, anak muda perlu dibantu bukan saja dengan pemilikan rumah malah usaha mengurangkan pengaliran pendapatan mereka untuk perbelanjaan harian seperti petrol, tol dan harga barang. Ia adalah keperluan yang tidak dapat dielakkan. Sebab itulah semua pihak khasnya agensi kerajaan, swasta dan NGO perlu menyokong inisiatif kerajaan, antaranya untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di negara ini.