MELAKA 30 Mac – Kerajaan negeri akan mempelbagaikan peluang serta ruang kepada golongan usahawan belia di negeri ini untuk memajukan diri melalui dasar pembangunan yang lebih komprehensif.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata, peluang berkenaan termasuk peruntukan lebih besar bertujuan menjana kejayaan serta kecemerlangan di kalangan belia dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan usahawan belia tidak pernah putus malah terus dipertingkatkan memandangkan potensinya kepada perkembangan ekonomi negeri.
Dalam konteks ini, kerajaan negeri amat mengambil berat kepentingan para belia serta sentiasa menghargai peranan dan sumbangan bidang keusahawan belia yang dilihat penting untuk digembleng secara bersepadu,” katanya berucap pada majlis pra pelancaran Anugerah Perdana Belia Usahawan 1Malaysia di Hotel Avillion Legacy di sini semalam.
Yang hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Zailani Siran dan Yang Dipertua Kelab Belia Usahawan (KBU) Melaka, Khairil Syukri Mohd. Tahir.
Anugerah Perdana Belia Usahawan 1Malaysia yang menawarkan lima anugerah pertama kali dianjurkan itu bakal diadakan pada 7 Jun akan datang dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Lima anugerah yang diperkenalkan ialah Anugerah Perdana Belia Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Anugerah Perdana Belia Usahawan Tani, Anugerah Perdana Belia Usahawan Industri, Anugerah Perdana Belia Usahawan Muda, Anugerah Perdana Belia Usahawan Contoh dan Anugerah Khas Perdana Belia Usahawan.
Jelas Norpipah, majlis anjuran KBU itu adalah dalam usaha untuk menghargai sumbangan usahawan belia yang telah membantu dalam program pembangunan usahawan di negeri ini.
Katanya, usaha bersepadu para usahawan di negeri ini dalam melahirkan lebih ramai belia yang berkemahiran dalam kepimpinan dan keusahawanan wajar dipuji dan dijadikan contoh.
“Ramai usahawan muda telah berjaya dilahirkan di negeri ini dan merupakan sesuatu yang amat positif bagi perkembangan belia,” ujarnya.