KUALA LUMPUR 13 Jun – Sejak sekian lama belia di alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah dilihat selamanya kekal sebagai pekerja bawahan malah sukar untuk kenaikan pangkat atau gaji.
Situasi ini mengakibatkan jurang keserakanan (partnership) di antara pekerja dan majikan semakin melebar malah usaha mengekalkan mereka di syarikat sama sukar dilakukan.
Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai co-partnership Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) telah menjalinkan kerjasama dengan Alzette University, France dalam membantu golongan belia memperolehi pengiktirafan persijilan untuk peluang pekerjaan dan masa hadapan yang lebih baik.
Sebagai simbolik kepada hasrat tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) “Certification Through Experiential Learning” di antara PKPB (Projek Belia Mahir) dengan Alzette University, France telah berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa.
PKPB diwakili oleh Sdr. Mohammad Rizan Hassan, Projek Belia Mahir manakala Alzette University, France diwakili Profesor Maurizio Rosini, Pengarah Pemasaran.
Majlis ini turut dihadiri oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, Presiden MBM yang menyampaikan ucapan perasmian seterusnya menyaksikan majlis menandatangani MOU tersebut.
Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan Exco MBM, Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi.