SMOLENSK 14 Mac – Pasukan Regional Program ke Wilayah Smolensk yang diwakili oleh Sdr. Eow Shiang Yen dan Dr. Wan Ahmad Hazman memulakan hari ketiga dengan senaman pagi bersama Timbalan Pengerusi Kerajaan Wilayah Smolensk, bekas juara Olimpik, atlet-atlet dan pelatih di Yubileyny Sports Palace.
Mereka seterusnya dibawa ke Kompleks Arkeologi Gnezdovo. Di sini mereka dibahagikan kepada empat kumpulan untuk diberi penerangan tentang adat istiadat dan gaya hidup penghuni di kawasan kompleks ini pada masa silam. Mereka juga menjamu selera berdasarkan unsur tradisi Maslenitsa.
Terdapat juga sesi yang mengajar para peserta untuk membuat roti, memahami seni bina kayu, senjata dan pengangkutan orang tempatan pada masa lampau. Program diakhiri oleh majlis pembakaran patung bermakna pengakhiran musim sejuk dan segala-galanya yang tidak baik dalam musim sejuk.
Di sebelah malam, para peserta menghadiri jamuan ringan yang mempersembahkan masakan tradisional Rusia di Sovremennik Cinema.
Ia diikuti dengan tayangan filem ‘Red Sniper’ yang mengisahkan pengalaman seorang wanita Rusia yang menjadi penembak jarak jauh dan bertekad untuk mengatasi pelbagai cabaran untuk mempertahankan tanah air.










