PENGKALAN CHEPA 17 Disember – Majlis Perasmian SkuadMEPS “Menggerak Pengguna Siswa” Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaysia Kelantan.
Beliau berkata, “mahasiswa yang hadir mampu menjadi agen kepada usaha melahirkan masyarakat yang menggunakan hak mereka sebagai ‘pengguna bijak’ sekurang kurangnya dalam kalangan ahli keluarga”.
“Pujian juga harus diberikan kepada usaha seperti ini yang memperlihatkan kesungguhan kita dalam mendepani isu-isu kepenggunaan di peringkat akar umbi”, tambah beliau.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Encik Muhammad Deraman, Wakil Pengarah KPDNHEP Negeri Kelantan, Encik Mohd Shukri Yaacob, Exco MBM Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh, Setiausaha Agung Majlis Belia Kelantan, Sdr. Wan Saifullah dan kepimpinannya.
Kelantan merupakan negeri keenam jelajah Program SkuadMEPS dianjurkan Bahagian Kepenggunaan KPDNHEP, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan.
Sebelah pagi berlangsun sesi taklimat Pengguna Bijak disampaikan oleh Sdr. Ahmad Shah manakala slot kedua disampaikan oleh Encik Mohd Shukri Yaacob, Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna, KPDNHEP Kelantan bertajuk ‘Tribunal Tuntutan Pengguna’. Majlis Penyampaian Watikah Ahli SkuadMEPS berlangsung pada sebelah petang.