KUALA LUMPUR 13 Jun — Pelan tindakan mengenai penubuhan Parlimen Belia akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia esok untuk diperhalusi terlebih dahulu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun Parlimen Belia telah diwujudkan di beberapa negara seperti United Kingdom, Australia, Eropah dan India, Malaysia perlu mempunyai model dan acuan sendiri mengikut kesesuaian setempat.
Pelan tindakan itu juga akan membincangkan had umur belia bagi menganggotai Parlimen Belia yang dicadangkan itu, katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) pada persidangan Dewan Rakyat di sini mengenai mekanisme yang akan digunakan dalam penubuhan Parlimen Belia. — Bernama