MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia Dalam RMK-12

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pembentangan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana turut menyelitkan satu pelan khusus untuk belia di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dipanggil Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia.

Selain perancangan menaik taraf Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) dan Kompleks Belia dan Sukan, YAB Perdana Menteri turut mencetuskan idea untuk mewujudkan Pusat Belia Wilayah. MBM menyambut baik usaha ini memandangkan kolektif masalah belia sekarang banyak tertumpu dalam kalangan belia bandar, antaranya miskin bandar, masalah sosial, pengangguran serta pendidikan.

Malah, tahap kesihatan mental belia bandar juga memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan. Tidak dinafikan, kehidupan moden dikelilingi bangunan tinggi pencakar langit menjadi kawasan menarik untuk didiami, lebih-lebih lagi dilengkapi kawasan perumahan dan perkhidmatan yang berkualiti. Namun, ia tersirat kesan sampingan gaya hidup tidak seimbang dan tekanan yang boleh membawa kesan buruk pada tubuh dan kesihatan dalam jangka panjang. Oleh itu, idea untuk menubuhkan Pusat Belia Wilayah ini sangat signifikan.

Usaha dalam menaik taraf APBM dan Kompleks Belia dan Sukan serta mewujudkan Pusat Belia Wilayah diharap dapat meningkatkan keberkesanan dan peranan institusi tersebut. MBM sentiasa membuka tangan untuk menawarkan bantuan dari sudut kepakaran baik dari sudut pengisian kepimpinan, pembangunan kerjaya, kemahiran insaniah dan juga kerja belia profesional. MBM juga menawarkan kepakaran Tokoh-tokoh Belia dan Persatuan Belia yang memenangi anugerah setiap tahun bagi membantu akademi ini. Selain MBM, turut boleh dilibat urus bersama adalah Pusat Belia Antarabangsa, Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan NGO lain.

RMK12 turut menyentuh isu masa hadapan seperti perubahan iklim. Perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Kenaikan suhu planet bumi melebihi 1.5°C akan memburukkan risiko bencana alam seperti kemarau, banjir, gelombang haba dan banyak lagi. Dalam Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG2030), ‘Tindakan Iklim’ adalah matlamat pembangunan lestari ke-13 yang menyarankan tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya.

Laporan terbaru Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menegaskan perubahan mendadak dan pada kadar segera perlu dilakukan untuk menangani isu pemanasan global dengan menurunkan kandungan gas rumah hijau dalam atmosfera. Di Malaysia, walaupun pengeluaran gas rumah hijau tidak sampai satu peratus, peranan kita dalam menangani pemanasan global tetap penting dan kita berterima kasih dengan komitmen kerajaan mengurangkan pelepasan karbon kepada 40 peratus pada tahun 2020 dan tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.

Rangkuman RMK12 banyak menyentuh soal digitalisasi masyarakat. Kita telah melalui situasi Covid-19 yang telah mempercepat peralihan ke arah digital dalam semua aspek kehidupan seharian. Tahun lalu (2020) telah membuktikan bahawa digitalisasi akan menjadi kunci untuk menangani masalah sosial utama, selain mempermudah cara baharu bekerja dan hidup pada tahun 2021. Masyarakat terutama golongan belia harus bersedia dalam mendepani kemajuan yang akan terus berkembang dalam usaha kita mewujudkan sebuah masyarakat seimbang dari segi pendekatan teknologi dan juga rohani atau dipanggil Society 5.0.

Tiada perkara lain yang MBM harapkan selain pemulihan ekonomi negara bagi memudahkan kita mencorak pelan seterusnya. Selain pembangunan infrastruktur, ekonomi, perumahan dan teknologi, pembangunan jiwa, rohani dan jati diri jangan sesekali diabaikan dalam membentuk belia masa hadapan. Perhatian harus terus diberikan kepada golongan belia terutama di dalam Belanjawan 2022 yang dijangka bakal dibentang November 2021 ini.

JUFITRI JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 27 September 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »