MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pejabat majlis belia nyaris terbakar

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 DISEMBER 2015

KERAYONG – Tindakan pantas seorang ahli jawatankuasa Majlis Belia Daerah (MBD) mencari alat pemadam api di premis berdekatan untuk memadam kebakaran pada kotak fius utama berjaya menyelamatkan nyawa dan harta benda di pejabat itu.

Pengerusi MBD, Mohd Rosidi Hassan berkata, semasa kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, hanya Setiausaha MBD, Mohd Sofi Mohd Fauzi berada dalam pejabat dan terdengar bunyi letupan serta bau asap di ruang utama pejabat.

Menurutnya, Mohd Sofi nekad untuk melihat keadaan kotak fius itu dan terdapat percikan api kecil.

“Dia segera berlari ke kedai berdekatan untuk meminjam alat pemadam api dan berusaha memadamkan percikan api itu.

“Tiada kemalangan jiwa dan kerugian dalam kejadian ini. Tetapi, saya perlu pastikan kejadian seumpama ini tidak lagi berlaku dengan memeriksa pemasangan pendawaian dilakukan dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Khairudin Othman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.39 pagi dan seramai tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, tindakan pantas mangsa menyebabkan kebakaran dapat dihalang, dan api dipadamkan sepenuhnya selepas 20 minit.

“Seharusnya, semua pejabat atau premis mempunyai alat pemadam api. Seperti kejadian yang berlaku ini, mangsa terpaksa meminjam dari premis berdekatan.

“Dan kebanyakan bangunan pejabat atau kedai masih tiada alat pemadam api ini, malah ada yang tidak diselenggarakan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Khairudin berkata, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan di semua bangunan pejabat dan kedai dalam usaha menghapus bahaya kebakaran (MBK) bagi memastikan kelengkapan keselamatan dalam keadaan terbaik.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »