KOTA BHARU 23 Dis. – Sebanyak 10,800 belia di negeri ini telah mendaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan sebagai pemilih bagi Parlimen Belia Malaysia yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, jumlah tersebut bagaimanapun masih tidak mencukupi kerana Kelantan diperuntukkan sebanyak 11,500 daftar pemilih.
Beliau berkata, seramai 645,000 belia secara keseluruhanya direkodkan di Kelantan pada tahun ini dan kementerian telah memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus daripada jumlah tersebut diberi peluang mendaftar sebagai pemilih.
“Kita masih kekurangan kira-kira 700 pemilih lagi sebelum tarikh tutup bagi menyertai Parlimen Belia pada hujung tahun ini. Saya harap belia di negeri ini segera mendaftar.
“Parlimen Belia Malaysia merupakan platform terbaik bagi menyuarakan suara belia di peringkat akar umbi seluruh negeri dalam memberi pandangan terhadap pembangunan belia negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) peringkat negeri ini di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd