Majlis Belia Malaysia (MBM) dan seluruh badan gabungan menyatakan keprihatinan kami terhadap situasi krisis kemanusiaan tidak berkesudahan yang berlaku di Gaza, Palestin. Perang genosid Israel ke atas Gaza yang hampir memasuki hari ke-100 ini merupakan suatu sisi gelap sejarah kemanusiaan dalam peradaban dunia.
Ketikamana seluruh dunia gegak gempita mendesak pembantaian oleh Israel dihentikan, Israel dengan sokongan segelintir kecil negara yang mengaku kuasa dunia, terus menerus mengebom kediaman, fasiliti kesihatan, prasarana awam, malah tanpa segan silu menghancurkan fasiliti yang dibangunkan oleh badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Angka korban yang kian meningkat, kini mencecah lebih 20,000 nyawa menjadi mangsa kekejaman, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, warga tua, para wartawan, petugas PBB dan banyak lagi. Manakala, beribu-ribu lagi warga Palestin masih hilang dan dianggap telah terbunuh di bawah runtuhan kediaman dan premis akibat dibom secara tidak berperikemanusiaan oleh tentera penjajah Israel. Akibatnya, dianggarkan lebih 1.7 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan berdepan dengan masalah kebuluran, di samping terdedah kepada ancaman pelbagai wabak penyakit yang memudaratkan.
Masyarakat antarabangsa telah gagal bertindak untuk menuntut supaya Israel menghentikan serangannya dan mengenakan gencatan senjata untuk menamatkan pembunuhan ribuan mangsa, demi memastikan bantuan kemanusiaan segera dapat dihulurkan kepada penduduk Gaza. Israel dengan angkuh semakin berleluasa dan sewenang-wenangnya mengenepikan desakan global.
Mewakili belia Malaysia, kami menyeru seluruh rakyat untuk menyatakan sikap, menzahirkan sokongan dan meningkatkan usaha desakan dan advokasi dalam pelbagai cara untuk menamatkan peperangan ini.
Tidak dapat dibayangkan dengan akal yang waras, bagaimana dalam dunia serba moden ini, kebiadaban suatu bangsa angkuh seperti Israel yang membantai dan membunuh manusia saban hari dibiarkan terus berlaku sehingga mencecah hampir 100 hari.
Oleh yang demikian, bersempena Hari Bertindak Global untuk Gaza (Global Day of Action: Ceasefire Now, Stop the War on Gaza” yang akan dianjurkan di seluruh dunia pada 13 Januari 2024, belia Malaysia menyeru seluruh warga Malaysia hadir memberikan sokongan dan bersolidariti bersama seluruh masyarakat global, untuk bersatu mendesak gencatan senjata kekal, demi menghentikan genosid di Gaza, serta menamatkan penjajahan dan pengakhiran dasar apartheid Israel.
Himpunan “Global Day of Action: Ceasefire Now, Stop the War on Gaza” di Malaysia akan diadakan pada 13 Januari 2024, dari jam 12:00 tengahari hingga 03:00 petang, bertempat berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
Kami juga mendesak agar segala usaha untuk mengheret Israel ke muka pengadilan digiatkan agar terhentinya secara kekal kezaliman yang berterusan selama lebih tujuh dekad ke atas warga Palestin.
Palestin Merdeka!
MOHAMAD FAZRIL MOHD SALEH
Ketua Penerangan
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Naib Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia
Bertarikh : 11 Januari 2024
BADAN-BADAN GABUNGAN & BERSEKUTU MAJLIS BELIA MALAYSIA
1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2. Briged Putera Malaysia
3. Briged Puteri Malaysia
4. Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
5. Gerakan Belia 4B Malaysia
6. Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM)
7. Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO)
8. Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM)
9. Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBT)
10. Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM)
11. Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA)
12. Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM)
13. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
14. Persatuan Pandu Puteri Malaysia
15. Persaudaraan Belia Methodist Malaysia
16. Persekutuan Pengakap Malaysia
17. Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS)
18. St. John Ambulans Malaysia
19. Majlis Belia Negeri Perlis
20. Majlis Belia Negeri Kedah
21. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang
22. Majlis Belia Negeri Perak
23. Majlis Belia Negeri Selangor
24. Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan
25. Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM)
26. Majlis Belia Negeri Johor
27. Majlis Belia Negeri Pahang
28. Majlis Belia Negeri Terengganu
29. Majlis Gabungan Belia Kelantan
30. Majlis Belia Wilayah Persekutuan
31. Pergerakan Puteri Islam Malaysia
32. Majlis Belia Sabah
33. Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC)
34. Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA)
35. Majlis Belia India Malaysia (MIYC)
36. Junior Chamber International Malaysia (JCIM)
37. Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia
38. Pertubuhan Belia Sikh Malaysia
39. Majlis Belia Felcra Malaysia
40. Majlis Belia Orang Asli Malaysia
41. Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU)