Oleh:
Atiqah Syairah Shaharudin
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Malaysia masih bertarung dengan wabak Covid-19, dan berada dalam fasa akhir untuk pemulihan. Namun demikian, terdapat satu jenayah seksual yang masih lagi menjadi wabak jijik yang terus menerus berleluasa bahkan dianggarkan lebih parah dengan keadaan semasa.
Jika merujuk kepada kepada Statistik Jenayah Malaysia, 2018 hanya 1,648 kes rogol sahaja yang dilaporkan. Hal ini selari dengan laporan oleh WAO yang menjalankan kajian oleh Yougov, hanya 8 peratus daripada jumlah mangsa yang membuat laporan polis.
Terdapat peningkatan jumlah kes figura dan individu yang mempunyai pengikut di warganet yang didedahkan kini terutamanya di laman Twitter. Sekumpulan mangsa yang menceritakan berkenaan sejarah hitam mereka yang terpaksa merahsiakan sikap sebenar individu yang dilihat sebagai lantang bersuara berkenaan isu hak asasi manusia, tetapi mereka adalah pemangsa.
Antara perdebatan yang lahir daripada pendedahan-pendedahan ini adalah kumpulan yang menjadi polis moral dan cenderung untuk berhujah tentang pakaian yang dipakai oleh mangsa jenayah seksual berbanding kesalahan jenayah itu sendiri.
Tak kurang juga yang sinikal dengan pendedahan kumpulan yang masih trauma dengan sejarah hitam ini, dan beranggapan input mereka tidak sah kerana tiada laporan polis. Apa yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah ketiadaan sistem sokongan yang menyebelahi mangsa secara holistik.
Isu berbangkit seperti yang diulas oleh Saudari Fynn Jamal berkenaan pendidikan jenayah seksual. Penyakit misoginis yakni kesalahan total kepada wanita ini kadang-kadang bukan hanya boleh dihidapi oleh kaum lelaki. Bahkan aktivis wanita yang sudah bertahun bergelumang dengan pelbagai isu masyarakat juga akan cenderung untuk mempunyai ideologi misoginis.
Hanya sahaya saudari merupakan sosok yang kuat dan bangkit daripada kejatuhan, tidak bererti semua orang boleh diperlakukan dengan hal yang sama. Nuansa suka menormalisasikan jenayah seksual ini adalah pintu utama dalam melambatkan proses memujuk mangsa-mangsa tampil membuat laporan. Bahkan ianya akan terus menutup kemahuan mangsa yang dalam kalangan mereka yang mengenali pemangsa, jika merujuk kepada statistik di Malaysia, 80% perogol adalah mereka yang dikenali.
Menormalisasikan jenayah seksual adalah bukan sebahagian daripada dakwah. Siri-siri pengajian islam di sekolah, universiti dan usrah jelas menerangkan prinsip asas maqasid adalah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Sebesar apa pun niat pendidik, figura berpengaruh, usahawan, artis dan selebriti mahu menyampaikan pemikiran dari sudut pandang mereka. Sikap utama yang perlu diangkat adalah membantu dan bukanlah membantut usaha mangsa-mangsa yang masih trauma. Fasa pertama dalam mendidik adalah memastikan akses kepada keperluan asas dan kesediaan untuk menerima input. Jika tidak, ianya hanyalah ruang magnet kontroversi yang tidak sezarahpun bermanfaat kepada masyarakat.
Saya ingin menyeru kepada semua mangsa jenayah seksual yang masih lagi belum menemui kekuatan untuk membuat laporan polis, supaya tampil dan ketahuilah kami akan setia membantu anda. Diharapkan juga kepada pihak berkuasa agar merancakkan siasatan terutamanya pendedahan di sosial media dan mempromosikan saluran perundangan kepada mangsa.
Bertarikh : 2 Julai 2020