KUALA LUMPUR: Budaya orientasi di institusi pengajian tinggi yang menganggap intimidasi, penghinaan, paksaan atau risiko keselamatan sebagai sebahagian daripada pembentukan disiplin dan daya tahan mahasiswa perlu dinilai semula.
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia, Eow Shiang Yen, berkata cabaran fizikal, kerja berpasukan dan aktiviti luar sememangnya mempunyai nilai dalam pengalaman universiti, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mahasiswa.
Katanya, beberapa insiden serius membabitkan kegiatan pelajar sejak kebelakangan ini menunjukkan aspek pengurusan risiko dalam aktiviti mahasiswa tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, pada April lalu, dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, meninggal dunia ketika menyertai Program Pendidikan Luar Kampus yang membabitkan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Kedah.
“Kes-kes ini tidak bermaksud semua aktiviti luar atau lasak perlu dihentikan. Pendidikan luar, kerja berpasukan dan cabaran fizikal mempunyai nilai tersendiri.
“Namun, kita perlu membezakan antara risiko yang mempunyai tujuan pendidikan dan diurus dengan baik dengan risiko yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya dalam komentar bertajuk Hentikan Normalisasi Budaya Tidak Sihat dalam Orientasi dan Alam Universiti, hari ini.
Beliau turut merujuk insiden pada November 2025 membabitkan dua pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail yang meninggal dunia selepas lemas ketika program di Sungai Pelong, Setiu.
Pada September 2026 pula, seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 21 tahun meninggal dunia manakala beberapa peserta lain menerima rawatan selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.
Menurut Eow, aspek seperti penilaian risiko, kesesuaian lokasi dan aktiviti, keadaan cuaca, waktu rehat, kelengkapan keselamatan, tahap kecergasan peserta, keupayaan penyelia serta pelan tindakan kecemasan perlu menjadi sebahagian daripada reka bentuk program sejak awal.
Dalam pada itu, beliau berkata budaya senioriti dan kepatuhan juga perlu dinilai apabila ia membawa kepada intimidasi atau kekerasan.
Katanya, ugutan, makian, herdikan, perlian, buli, hukuman fizikal atau psikologi dan tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan bukan prasyarat untuk membentuk mahasiswa yang berdisiplin.
“Pembinaan daya tahan seharusnya mengajar mahasiswa bagaimana menghadapi cabaran dengan baik, bukannya mengajar mereka menerima penderitaan yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tahap kebebasan mahasiswa untuk menolak sesuatu aktiviti sekiranya penyertaan dikaitkan dengan merit, kedudukan kolej kediaman atau penerimaan sosial.
Menurutnya, jika mahasiswa merasakan tindakan berkata “tidak” boleh menjejaskan tempat tinggal, merit atau hubungan mereka dengan komuniti kolej, wujud ketidakseimbangan kuasa yang perlu diberi perhatian.
Sehubungan itu, Eow mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan garis panduan nasional berkaitan orientasi mahasiswa yang menetapkan standard minimum mengenai keselamatan, waktu rehat dan tidur, kelengkapan keselamatan, akses kepada air, makanan dan rawatan, prosedur kecemasan serta kompetensi penyelia.
Beliau berkata, garis panduan itu tidak seharusnya menyekat kreativiti universiti, sebaliknya memastikan aspek keselamatan, maruah dan kebebasan daripada paksaan tidak dikompromikan.
Eow juga mencadangkan universiti menyediakan saluran pelaporan yang bebas, selamat dan mudah dicapai, termasuk mekanisme Sistem Amaran Awal dan Respon Awal (EWERS), bagi membolehkan aduan berkaitan ugutan, buli, aktiviti tidak selamat, kecederaan, tekanan psikologi dan penyalahgunaan kuasa ditangani lebih awal.
Beliau berkata, orientasi sepatutnya menjadi proses penyesuaian mahasiswa kepada kehidupan universiti, bukannya proses penundukan.
“Mahasiswa tidak perlu dihina untuk belajar menghormati. Mereka tidak perlu ditakutkan untuk belajar berdisiplin. Mereka tidak perlu dibahayakan untuk membina daya tahan,” katanya.
Menurutnya, orientasi yang berjaya ialah program yang menjadikan mahasiswa lebih memahami universiti, mengenali rakan, bersedia menghadapi pengajian, yakin mendapatkan bantuan serta berasa selamat dan bangga menjadi sebahagian daripada komuniti kampus.
“Sudah tiba masanya kita menghentikan normalisasi budaya tidak sihat atas nama orientasi,” katanya.
Artikel penuh :