KUALA LUMPUR 5 Okt.- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Jumaat ini terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan, selain berusaha mengekang kenaikan kos hidup yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, infrastruktur pendidikan amat penting bagi memberikan keselesaan kepada pelajar menimba ilmu.
“Sekarang kita lihat satu kelas memuatkan hampir 40 pelajar yang mana keadaan itu menyebabkan pelajar kurang selesa apabila belajar.
“Apabila kurang selesa, pelajar sukar untuk menerima apa yang diajar oleh guru-guru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Zamri berkata, kesesakan bilik darjah yang banyak berlaku di sekolah luar bandar itu perlu ditangani bagi memastikan peluang yang saksama dalam memperoleh ilmu pengetahuan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berharap, Belanjawan 2012 mampu menawarkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada belia.
“Kerajaan harus memfokuskan kepada latihan kemahiran selain memberi insentif bagi membantu belia memajukan diri seperti industri pembuatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memastikan berlaku pengurangan kos sara hidup kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Kerajaan boleh melaksanakan sistem kupon makanan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Contohnya, Kedai Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar agar masyarakat di sana dapat menikmati kemudahan tersebut,” katanya.