PORT DICKSON, 11 Mei – Negeri Sembilan muncul negeri pertama yang dipilih Kementerian Belia dan Sukan untuk menjayakan projek pencarian bakat dalam bidang sukan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, projek itu akan dilaksanakan di seluruh negara dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan untuk memulakannya.
Beliau berkata, menerusi projek itu, kementerian mempunyai peruntukan khas dalam pencarian bakat membabitkan sekolah-sekolah di negeri ini.
“Kita sudah kenal pasti sekolah mana yang akan dilibatkan. Ia membabitkan pelbagai bidang sukan yang negara kita telah ambil bahagian sama ada dalam pertandingan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Majlis Perasmian Festival Belia Negeri Sembilan.
Hadir merasmikan program, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Khairy berkata, kementerian juga akan memberi sepenuh sokongan menjadikan Negeri Sembilan sebagai power house kepada atlet sukan negara.
Untuk rekod, sebelum ini, kementerian melancarkan Sistem Pengurusan Data MyTID (talent identification and development) di Institut Sukan Negara.
MyTID bakal menjadi permata Institut Sukan Negara di mana program ini akan mengenal pasti bakat terpendam di kalangan murid darjah satu hingga tiga untuk diuji dari segi ciri fizikal, biomekanik dan psikologi untuk dibangunkan sebagai atlet pelapis.
Sementara itu, Mohamad berkata, Negeri Sembilan kini sedang dalam usaha mencungkil dan mencari bakat di kalangan belia terutama dalam bidang sukan yang boleh mengharumkan nama negeri dan negara sehingga di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Negeri Sembilan sudah melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa, namun kerajaan negeri mahu lebih ramai lagi bakat-bakat baru dilahirkan bukan sahaja mewakili negeri tetapi negara.
“Hari ini, sukan boleh dijadikan sebagai kerjaya dan mereka mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. Jika sebelum ini kita selalu memberikan fokus tentang belia dan keusahawanan, tetapi sekarang kita mahu meluaskannya ke bidang sukan. Kita tahu bukan semua belia minat dengan keusahawanan,” katanya.
Festival Belia Negeri Sembilan berlangsung selama tiga hari berakhir semalam di Pantai Batu 1, di sini.
Pada majlis penutup, turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Belia Perdana Peringkat Negeri Sembilan belia dan beliawanis serta persatuan belia.