MAJLIS BELIA MALAYSIA

NEGARA PERLU IKLIM POLITIK BAHARU

Setelah hampir seminggu Malaysia dilanda kegawatan politik akhirnya sirna jua dengan ketetapan yang telah diputuskan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Artikel 40 (2) Perlembagaan Malaysia. Majlis Belia Malaysia (MBM) yakin ia bukanlah keputusan yang mudah dan boleh memuaskan hati semua pihak namun ianya cukup menjadi kata pemutus dan muktamad untuk meredakan suhu politik Negara yang panas dan memastikan Negara terus bergerak kehadapan. MBM ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

MBM juga ingin merakamkan ucapan sekalung tahniah di atas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 sambil memperingatkan bahawa jawatan adalah suatu bebanan amanah berat yang harus dipikul dan suatu barang sesalan di hari akhirat. 

Justeru selaku suara dan badan rasmi belia yang secara kolektifnya non-partisan, MBM akan terus berfungsi membantu Kerajaan khususnya dalam hal ehwal pembangunan belia dan Negara sambil sukacita ingin menegaskan beberapa tuntutan yang turut akan dijayakan bersama oleh MBM selaras dengan kehendak belia dan rakyat terbanyak iaitu Kerajaan baharu wajar:

  1. Melantik barisan kabinet yang bersih dan kompeten untuk memacu pembangunan dan ekonomi Negara;
  • Memfokuskan memperbaiki ekonomi, membasmi kemiskinan sambil membantu menangani kos sara hidup rakyat serta peluang pekerjaan di mana rakyat sedang bergelut dengan kesempitan hidup;
  • Menyatupadukan semula rakyat berbilang kaum dan fahaman politik atas paksi Rukun Negara dan Perlembagaan;
  • Memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dan membasmi rasuah serta salah guna kuasa; dan
  • Memperkasa pertubuhan belia dan menangani isu-isu utama belia.

MBM ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas jasa dan khidmat kepada Negara selama ini.

Di akhir kesempatan ini, MBM juga ingin menyeru kepada para pemimpin belia dan ahli politik muda agar memulakan iklim politik baharu yang lebih segar dan matang dan keluar daripada bayangan politik lama yang menjengkelkan.

Negara memerlukan lebih ramai ahli politik muda yang berwibawa bersama ahli politik senior yang mempunyai hikmah yang tinggi. Sudah sampai masanya juga generasi muda menubuhkan parti politik mereka tersendiri bagi menawarkan agenda politik yang lebih dinamik dan menjadi semak dan imbang kepada parti-parti lain.

MBM mengajak belia dan rakyat Malaysia terus mengutamakan dan berdoa untuk kestabilan negara dan merayu agar segala protes dan bantahan menggunakan saluran demokrasi yang sah dan lunas undang-undang.

JUFITRI JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh :  2 Mac 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »