KUALA LUMPUR 2 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan impian untuk melihat golongan remaja dan belia di negara ini bersama memperjuangkan semangat 1Malaysia.
Untuk itu, Perdana Menteri berkata, pelbagai acara yang memfokus kepada mengukuhkan perhubungan kenegaraan dan memupuk semangat perpaduan bangsa melalui gagasan 1Malaysia perlu sentiasa dianjurkan.
”Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya, baru-baru ini benar-benar berjaya.
”Saya ingin melihat lebih banyak acara (membabitkan remaja dan belia) dianjurkan untuk mengukuhkan lagi perhubungan kenegaraan dan memupuk semangat 1Malaysia.
”Adalah menjadi impian saya untuk menyaksikan golongan tersebut memperjuangkan 1Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk ‘Hujung minggu bersama rakyat’ di blognya, http:// www.1malaysia.com.my.
Kata Najib, perhimpunan di Putrajaya yang membolehkan beliau meluangkan masa bersama rakyat itu telah berlangsung dengan baik dan penuh ceria.
”Hari yang terluang untuk saya bersama rakyat selepas melakukan lawatan semasa Perhimpunan Sejuta Belia begitu ceria dan dipenuhi kegembiraan.
”Malah saya berpeluang menonton perlawanan akhir Liga Juara-Juara bersama peminat bola sepak di Putrajaya di awal subuh hari minggu.
”Walaupun pasukan kegemaran saya tidak berjaya menjuarai Liga Juara-Juara, malam tersebut tetap menghiburkan apabila menonton pertemuan Manchester United dengan Barcelona,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menyelitkan beberapa keping gambar dan rakaman video sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung di laman blog terbabit.
Antara gambar-gambar yang dipaparkan adalah gambar beliau bersama pasukan Rally Remaja Malaysia, pelancaran kempen ‘Tunggang Dengan Betul’ dan pertemuan bersama pelbagai kumpulan termasuk Pengakap.