PULAU PINANG, 10 Nov – Majlis Belia Malaysia (MBM) menerusi Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVOC) turun padang menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan yang dilanda musibah banjir luar biasa di Pulau Pinang pada 9 November lalu.
Misi bantuan pasca banjir ini diketuai oleh Presiden MBM, Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal dan digerakkan dengan kerjasama majlis belia daerah dan majlis belia negeri Pulau Pinang.
Ghadafi berkata, “kita tidak sempat turun ke semua lokasi bantuan, namun kita menyerahkan sumbangan bantuan ini kepada majlis belia daerah dan negeri untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat dengan bancana ini”.
Terdahulu, pasukan MBM menyampaikan sumbangan dapur gas, beras, bekalan makanan di beberapa rumah di kampung Masjid Bayan Lepas, kampung Besar dan KRT Taman Cempedak, Tasek Gelugor serta Tabika Kemas kampung Manggis, Seberang Perai Tengah.
“Bantuan ini merupakan inisiatif MBM bagi merasakan satu tanggungjawab khidmat masyakart dalam membantu mangsa banjir dan kita juga akan gerakkan sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bagi membersihkan rumah mereka” tambah beliau.
Yang hadir sama, Sdr. Hasanul Amir Abd Halim, Exco MBM, Sdr. Hisham Abd Hamid, penyelaras bantuan dan sukarelawan MyVOC.
Penduduk yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada MBM atas sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung ketika ini dan yang tinggi nilainya menyantuni golongan dalam kesusahan.
Alhamdulillah, cuaca yang baik beberapa hari ini membolehkan kebanyakan penghuni penempatan banjir pulang ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah. MBM mendoakan agar mangsa-mangsa banjir diberikan kekuatan dan tabah dalam menghadapi dugaan ini.