Tokyo, 1 Nov – Dalam usaha menyediakan dan memantapkan pasukan sukarelawan yang berpengetahuan luas dalam bidang pengurusan bencana, Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVOC) mengadakan MyVOC Disaster Management Program yang berlangsung pada 27 – 31 Oktober 2017 di Tokyo, Jepun.
MyVOC telah menghantar sebuah pasukan untuk mempelajari pengalaman beberapa organisasi pengurusan bencana di Jepun dalam mengurus mangsa bencana selain mendapatkan gambaran sebenar tentang keadaan semasa dan selepas bencana.
Pasukan ini diketuai oleh Sdr. Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM dan turut disertai Sdr. Mohd Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM, Sdr. Mohd Aizad Roslan, Naib Presiden MBM, Sdr. Ahmad Saparudin Yusup, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Hakimi Mat Husin, Exco MBM.
“(Pengalaman) ini harus dipelajari sebagai langkah kesiapsiagaan kita dalam menghadapi bencana alam yang tidak terduga”.
“Pemilihan Jepun kerana negara ini mempunyai pasukan kepakaran pengurusan bencana yang sistematik dan efisien dan kita berminat menimba pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pengurusan bencana alam dalam usaha menangani sebarang risiko bencana negara”, kata Rizan Hasan.
“Hasil lawatan kerja di pusat-pusat pengurusan bencana, kita banyak pelajari teknik menangani mangsa-mangsa bencana dan kaedah pengurusan menggunakan kaedah apa yang ada”.
“Ini sangat efisien selain mengelakkan kos yang tinggi di samping memberi keselesaan kepada mangsa berkenaan”, tambah beliau.
Dalam kunjungan ini juga MBM turut menjalinkan kerjasama dengan rangkaian NGO kesukarelaan di sana bagi menempatkan sukarelawan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan luar negara.
Diharapkan melalui program ini satu mekanisme pengurusan bencana yang efisien dan mantap mampu diterjemahkan dalam gerak kerja kesukarelaan MyVOC.