MyVoc Big Jam 4×4 di Pos Lemoi Cameron Highland telah berlangsung dengan jayanya pada 23 hingga 24 Januari 2015 anjuran Kilo Lima Bravo Motorsport Club (KLBMC) dengan rakan kerjasama Majlis Belia Malaysia. Program ini telah disertai sebanyak sebanyak 298 buah pacuan empat roda yang terdiri daripada 20 Kelab Permotoran 4×4 antaranya Rugged, Raja Rimba, Kelab Vitara 4×4, Bera, Cameron Highland Adventure Team (CHAT 4×4), Manjung Off Road Extreme (More Xtreme 4×4) dan lain-lain lagi. Antara pengisian program ini adalah seperti slot pertolongan cemas dan CPR, slot pengendalian 4×4 dan asas komunikasi, pemeriksaan kesihatan dan bersama penampilan khas lagenda rock terkenal XPDC. Objektif program ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat luar terutama dari badan kerajaan, swasta, NGO untuk menyelami sendiri kehidupan Orang Asli dan menyumbangkan segala budi dan bakti untuk dikongsi bersama masyarakat Orang Asli sebagai tanggungjawab sosial. Turut serta dalam program ini ialah YB. Dato’ Norol Azali Sulaiman Exco Kesihatan Negeri Pahang. Sesi majlis penutup dan penyampaian sumbangan oleh YB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy Wan Ismail Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Perbandaran Negeri Pahang dan turut hadir sama Dato’ A.Rahman Hamzah Pegawai Daerah Cameron Highland dan Tuan DSP Mohammed Rizal Kamaruddin Ketua Polis Daerah Cameron Highland.