Kuala Lumpur, 14 Okt – Pasukan MyT MBM dinobat sebagai juara Perlawanan Bolasepak Persahabatan sempena Hari Sukan Negara 2017 yang berlangsung di Padang Bolasepak Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Selain MBM, perlawanan empat penjuru ini turut disertai pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dan Otai Bandar Tun Razak. Perlawanan anjuran Pusat Belia Antarabangsa ini bermula jam 8.30 malam dan berakhir pada 12.30 pagi.
Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan turut hadir memeriahkan perlawanan selain melakukan acara sepak mula.
Objektif perlawanan ini diadakan bagi menyemarakan semangat kesukanan di samping menjalinkan ikatan silaturahim dengan masyarakat setempat.
MyT MBM yang diketuai Setiausaha Agung MBM, Sdr. Ahmad Saparudin Yusup memastikan kemenangan apabila memperolehi mata tertinggi dengan kemenangan 2 – 0 ke atas pasukan KBS.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Dr Haji Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.
Tahniah diucapkan kepada pasukan MyT MBM dan semua pasukan bertanding!