Oleh:
Jufitri Joha
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Ekonomi gig atau molek juga dipopularkan dengan ekonomi lejang bukanlah arena pekerjaan baru di Malaysia. Ia juga dikenali secara umum sebagai pekerjaan bebas atau freelance. Sarah Kessler penulis buku Gigged (2018), menyebutkan bahawa satu daripada tiga pekerja di Amerika sekarang merupakan freelancer. Saudara Naim Jaafar, pengasas Foresight Studio mengkategorikan sekurang-kurangnya 4 kategori pekerjaan bebas iaitu free agent, gig, side hustle dan micropreneur. Istilah-istilah ini akan terus berkembang dan berubah seiring dengan peredaran zaman dan perkembangan sektor ini di seluruh dunia.
Menelusuri sejarah silam, nenek moyang kita juga tidak asing dengan ekonomi gig kerana mereka terbiasa membuat beberapa pekerjaan dalam satu masa seperti menanam padi, memetik buah kelapa dan menangkap ikan. Berdasarkan maklumat daripada pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada Mei 2020 telah terdapat lebih daripada 100 platform ekonomi gig atau platform pekerjaan bebas digital beroperasi di Malaysia yang menawarkan pelbagai jenis bentuk pekerjaan separa mahir seperti pemandu, penghantar barangan dan makanan, kepada pekerjaan berkemahiran teknikal dan vokasional seperti juruteknik dan juruletrik, sehinggalah pekerjaan digital yang memerlukan kemahiran tinggi seperti pengaturcaraan dan rekaan grafik.
Individu yang terlibat dalam sektor ekonomi akan membuat pelbagai pekerjaan dalam satu-satu masa berdasarkan kepelbagaian kemahiran yang dimiliki. Justeru penguasaan pelbagai kemahiran bahkan bahasa dan teknologi menjadi ‘driver’ kepada kerancakkan penglibatan dalam sektor yang lumayan ini. Ekonomi gig ternyata memang sesuai dengan jiwa generasi y dan z yang mementingkan kebebasan dan tidak mahu bekerja secara terikat dengan mana-mana majikan. Covid-19 menjadi game changer mempercepatkan lebih ramai anak muda menceburi sektor ini sekaligus mempersiapkan mereka berhadapan dengan revolusi industri keempat.
Bentuk pekerjaan memang akan berubah pada masa hadapan. Profesor Sohail Inayatullah seorang pemikir masa hadapan menjangkakan 44 peratus pekerjaan akan diautomasikan dalam tempoh 10 tahun; 60 peratus mahasiswa sedang mengejar kerjaya yang masih belum wujud; dan anak muda akan mempunyai purata 17 jenis pekerjaan dalam satu-satu masa.
Fakta ini menghimbau saya kepada saudari Nur Ashikin Halil yang menjadi tetamu khas semasa Majlis Pelancaran Maya Program MyGig pada 23 Jun 2020 yang lalu di mana saya menjadi pemudahcara. Ashikin dijemput sebagai ikon belia ekonomi gig bagi berkongsi rahsia kejayaan beliau dalam ekonomi gig. Menarik tentang Ashikin ialah beliau dikenali sebagai virtual assistant, penulis, penterjemah, pengurus media sosial dan voice over. Pendapatan beliau mencecah RM 1, 477, 900 pada 2019. Beliau merupakan produk kebanggaan MDEC melalui Global Online Workforce (GLOW). Seorang lagi tetamu ikon belia ekonomi gig ialah saudara Shree Vicknesh yang bekerja sebagai rider dengan LalaMove yang merupakan rakan kongsi MDEC di bawah platform eRezeki. Beliau menjana pendapatan purata sebanyak RM 3000- RM 4000 sebulan pada umur 23 tahun.
Atas kejayaan ini dan bagi menangani isu pengangguran belia pasca Cobid-19, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama MDEC dan Majlis Belia Malaysia (MBM) tampil tangkas melancarkan MyGig yang menawarkan dua pakej iaitu myGIG Servis dan myGIG Digital Freelance bagi menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam ekonomi gig. Kedua-dua pakej ini dibina atas kejayaan platform eRezeki dan Glow dan dikhususkan untuk golongan belia sahaja. Kedua-dua Menteri KBS iaitu Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri KKMM iaitu Dato’ Saifuddin Abdullah sama-sama melancarkan program myGIG secara santai dan sempat berdialog dengan kedua-dua ikon belia ekonomi gig tersebut.
Kedua-dua pakej ini mensasarkan 1000 penyertaan dengan bantuan insentif permulaan disediakan dan boleh diketahui lanjut melalui portral sehenti yang diselaraskan oleh KBS di ebelia.iyres.gov.my.
MBM menyambut dan mendokong usaha baik ini sambil menggesa Kerajaan meningkatkan secara serius prasana dan infrastruktur kemudahan jalur lebar di kawasan luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak khususnya dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Ia bagi memberikan peluang belia luar bandar dan pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak dapat menyertai insentif myGIG yang baik seperti ini sekaligus mengelakkan mereka berhijrah beramai-ramai ke bandar dan bagi mengelakkan mereka terus ketinggalan. Malaysia juga digemparkan dengan video tular baru-baru ini di mana pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas Sabah bagi mendaptakan akses talian internet untuk menjawab peperikasaan. Kelajuan jalur lebar sedia ada juga wajib dipertingkatkan menjelang persiapan memasuki era 5G. dan umum mengetahui perkhidmatan jalur lebar dewasa ini sedikit mengecewakan. Saya difahamkan Menteri KKMM telah pun mengambil cakna akan isu ini. Secara kesimpulannya belia Malaysia yang rata-rata 30 tahun ke bawah wajar merebut peluang ini memandangkan mereka ini merupakan golongan yang cepat menyesuaikan diri dalam suasana adaptive change dan radical change yang berlaku akibat Covid-19 melanda. Manfaatkan platform digital dan sektor ekonomi gig bagi menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan kehidupan belia seharian. Semoga kita terus berusaha melejangkan ekonomi belia.
Bertarikh: 26 Jun 2020