SEREMBAN 7 Sep – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah hadir ke Muktamar Sanawi Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) kali ke-51 yang berlangsung di Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Hasan yang memberi inspirasi kepada para perwakilan untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan ummah khususnya dalam mengangkat falsafah Madani.
Turut bersama ialah wakil badan gabungan MBM, Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM 青团运), yang diwakili oleh Presidennya Sdr. Aluyis Lim 林順斌. Perwakilan dari pelbagai sektor belia ini menunjukkan betapa pentingnya keterlibatan belia daripada latar belakang yang berbeza untuk bekerjasama dalam membina masa depan yang lebih baik bagi negara kita.
Dalam Ucapan Dasar Sdr. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku Presiden ABIM, beliau menggariskan bagaimana misi pimpinan ABIM pada ketika ini untuk lebih memaknai lima dekad keberadaan ABIM di dalam landskap belia Malaysia dengan membawa Nahdah baharu di dalam landskap aktivisme Malaysia khususnya dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.
Umum mengetahui, ABIM terus berperanan aktif dalam memimpin pergerakan belia ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Muktamar ini juga adalah peluang untuk merenung kembali pencapaian serta perancangan masa hadapan yang lebih strategik, bagi memastikan pergerakan belia di Malaysia, terutamanya melalui platform ABIM, akan terus maju dengan relevan dan berdaya tahan.