Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, hasil daripada persidangan MPBN akan diketengahkan kepada kerajaan melalui kajian dan cadangan sekali gus dapat menangani isu-isu belia dengan lebih mudah dan teratur.

“MPBN sebenarnya memberi ruang kepada pembahas dan pihak kementerian untuk menyelesaikan isu melibatkan golongan belia, jika tidak dapat diselesaikan di peringkat pelaksana dasar, ia akan di bawah kepada peringkat yang lebih tinggi.

“Dalam persidangan tersebut, ahli-ahlinya akan mengenalpasti sesuatu isu dan me­ngusulkan cadangan bagaimana perlu menangani isu tersebut yang ter­nyata lebih berkesan membantu golongan belia berbanding memberi komen negatif tanpa cadangan membina serta me­ngadakan demonstrasi semata-mata,” katanya di sini hari ini.

MPBN yang bersidang seba­nyak dua kali setahun itu membahaskan pelbagai aspek bagi menangani isu-isu golongan belia dalam menentukan hala tuju belia negara yang dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Cadangan yang terhasil mela­lui MPBN sebelum ini sering mendapat perhatian daripada kerajaan seperti isu kos sara hidup belia, penubuhan Kementerian Belia dan Sukan, Skim Rumah Pertamaku, Skim Pembayaran Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Antara usul yang akan dibin­cangkan pada sidang keempat penggal ke-30 esok ialah pe­ngangguran dalam kalangan sis­wazah baharu, penurunan harga kereta, insentif kepada belia dalam bidang agromakanan, pe­ngurusan tekanan dalam kala­ngan belia, masalah gangguan pemakanan dalam kalangan be­lia dan revolusi industri 4.0 dalam latihan kemahiran.