MAJLIS BELIA MALAYSIA

MPBN cadang umur Senator turun 25 tahun

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Cadangan menurunkan umur kelayakan Senator daripada 30 kepada 25 tahun serta memperkenalkan had penggal berturut-turut Ahli Parlimen akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah berkenaan bagaimanapun perlu disusuli usaha melahirkan barisan belia yang kompeten, berkualiti dan bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan negara.

Katanya, cadangan itu antara usul yang dibincangkan pada Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), hari ini.

“Fokus utama kita adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan serta menyediakan barisan kepimpinan yang lebih ramai dan berkualiti. Jadi, sekiranya berlaku pindaan pada masa akan datang, termasuk kemungkinan penurunan had umur, anak muda kita sudah berada dalam keadaan bersedia.

“Apabila platform dan ruang kepimpinan itu dibuka, KBS sudah mempunyai barisan kepimpinan muda yang boleh diketengahkan,” katanya pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang III, Penggal ke-35, Sesi 2025-2026 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, KBS akan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dewan Negara serta pihak berkepentingan lain bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk merealisasikan usul berkenaan.

Dalam pada itu, MPBN turut menyeru kerajaan memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan nuklear bagi menjamin keselamatan tenaga negara pada masa hadapan.

Mengulas cadangan supaya had umur belia dinaikkan daripada 30 kepada 35 tahun, Dr. Mohammed Taufiq berkata perkara itu memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut berasaskan fakta serta data.

Beliau berkata, pindaan had umur belia kepada bawah 30 tahun baru dilaksanakan kira-kira lapan bulan lalu.

“Keputusan yang telah dibuat Kabinet dan diluluskan Parlimen tetap kita hormati. Namun, perbincangan mengenai perkara ini perlu diteruskan secara berterusan dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Artikel penuh :

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/mpbn-cadang-umur-senator-turun-25-tahun/?fbclid=IwY2xjawTyCY9wZG9mAWV4dG4DYWVtAjExAHNydGMGYXBwX2lkEDIyMjAzOTE3ODgyMDA4OTIAAR7GVZkD9lSF9qj-WuOHfBK214_QxBoftCxpJ353DHk0ynJ3wsOWHQY–rBrVw_aem_Bcr_UpuTTHR0rFNXgtwc7w

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »