KUALA LUMPUR 18 Ogos – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang III Penggal ke-35 bagi sesi 2025/2026 selesai bersidang di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, dengan 142 perwakilan belia membahaskan pelbagai isu strategik berkaitan masa depan generasi muda dan negara.
Persidangan yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial itu dipengerusikan oleh YB Dr. Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, yang turut menghadiri MPBN buat kali pertama sejak dilantik sebagai Menteri.
Dalam ucapan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, beberapa isu nasional dan global diketengahkan termasuk pemansuhan AUKU, tekanan geopolitik, tenaga masa hadapan, reformasi demokrasi, literasi politik dan pengundi muda, buli, kesihatan mental serta penyalahgunaan dadah.
Tiga usul utama dibahaskan meliputi representasi belia dalam Dewan Negara, pembaharuan politik dan peremajaan kepimpinan negara serta penglibatan belia dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Sejak ditubuhkan pada 1971, MPBN terus menjadi platform libat urus tertinggi dan persidangan intelektual belia di bawah Akta 668, menghimpunkan kepimpinan pertubuhan belia di peringkat negeri dan kebangsaan bersama wakil kementerian serta agensi Persekutuan.
YB Menteri turut menegaskan bahawa pandangan dan idea bernas yang diketengahkan perwakilan belia akan diberi perhatian melalui perbincangan serta tindakan susulan, termasuk untuk dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
Turut hadir YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS; Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah JBSN; Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden MBM; serta Sdr. Mohamad Naim Al-Amin, Pengerusi Tetap MBM.
MPBN terus menjadi ruang penting untuk memastikan suara, pandangan dan aspirasi belia Malaysia didengar, dibincangkan dan diterjemahkan kepada tindakan.



































































