MAJLIS BELIA MALAYSIA

MPAT73 MBM : Pemilihan kepimpinan terakhir belia 40 tahun sebelum akta 668 dikuatkuasa

Majlis Belia Malaysia (MBM) akan melaksanakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-73 pada 9 hingga 11 Januari 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre), Kuala Lumpur.

MBM ialah badan induk pergerakan belia Malaysia dengan 41 buah badan gabungan terdiri dari pertubuhan belia peringkat kebangsaan dan majlis-majlis belia negeri. Seramai 399 orang perwakilan layak mengambil bahagian dalam MPAT kali ini yang akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 10 Januari 2025 (Jumaat) jam 2.30 petang.

Mesyuarat ini merupakan acara tahunan penting bagi MBM untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan belia di Malaysia termasuk perancangan, dasar serta aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun.

Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid akan menyampaikan Ucapan Dasar yang dijangka menyentuh pelbagai topik seperti pengkaderan dan pengupayaan pemimpin belia, penstrukturan holistik persatuan belia, pengantarabangsaan belia Malaysia di samping isu-isu semasa negara.

MPAT kali ini juga akan memenuhi salah satu tuntutan Perlembagaan MBM bagi memilih barisan kepimpinan MBM untuk sesi 2024-2026. MBM menjangkakan wujud persaingan bagi beberapa jawatan penting seperti Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari selain Ahli Jawatankuasa Kerja.

Sesi ini juga merupakan penggal akhir sebelum Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] dikuatkuasakan yang menyaksikan kepimpinan belia di semua peringkat berumur di bawah 30 tahun pada Januari 2026.

Penamaan calon untuk mengisi jawatan-jawatan yang dipertandingkan akan diadakan pada 10 Januari 2025 (Jumaat) dan proses pengundian akan berlangsung pada 11 Januari 2025 (Sabtu).

MBM di bawah kepimpinan Sdr. Mohd Izzat Afifi menggalas tanggungjawab dalam memastikan legasi kepimpinan belia terus diperkasa dan diperkukuh dalam mendepani situasi besar landskap belia selepas 2026 nanti.

Pelbagai hasil dan gerak kerja telah dilaksanakan seperti kelulusan bantuan pentadbiran sebanyak RM5Juta sebagai geran kepada MBM, Program Rakan Muda di bawah MBM, Program Reach Out Majlis Belia Daerah (MBD) & Komuniti, program Pengupayaan MBD, Rakan Prihatin Banjir, program Kesukarelawan, Program antarabangsa dan kolaborasi bersama swasta dan sebagainya.

Dalam masa sama, fokus MBM dan badan gabungannya terus membantu rakyat khususnya golongan muda dalam pelbagai isu yang memberi impak kepada golongan belia seperti pendidikan, pekerjaan dan kesihatan mental.

Manakala program-program kesukarelaan, kepimpinan dan kemasyarakatan menjadi agenda berterusan MBM dalam melahirkan golongan belia yang berkualiti, lebih tinggi dan berwibawa seterusnya mampu mengambil alih kepimpinan Negara satu hari nanti.

Menginjak 77 tahun usia badan induk pertubuhan belia ini, MBM telah mewujudkan Visi MBM 2048 : Ke Arah 100 Tahun MBM yang menggariskan pelan strategik bagi memantapkan gerakan pertubuhan belia secara holistik di mana dokumen ini telah diangkat ke dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Banyak lagi yang bakal dilaksanakan 2025 ini khususnya dalam memateri agenda Pengkaderan Kepimpinan Belia di peringkat akar umbi serta MBM mempunyai tugasan besar dalam merancakkan program menjelang Kepengerusian ASEAN 2025.

Justeru, MBM bersama rakan strategiknya iaitu Kementerian Belia dan Sukan akan terus menerajui usaha melindungi hak-hak dan memperjuangkan kepentingan generasi muda di negara ini. MBM juga bersedia meneroka wilayah baru dengan semangat, keazaman dan pendekatan yang lebih jitu.

MBM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada MBM selama ini dan mengharapkan agenda pembangunan belia akan membawa perubahan positif kepada masa depan belia Malaysia.

Menggerak Belia!

HASNUL HANIFF HARUN

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 6 Januari 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »