MAJLIS BELIA MALAYSIA

Misi Kemanusiaan

SEMPENA mengambil keberkatan Ramadan, 400 mahasiswa dari 33 buah negara termasuk 70 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara ini telah menyertai Simposium Kepimpinan Pelajar-Pelajar Universiti di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Misi delegasi Malaysia yang diketuai Muhamad Rizan Hassan itu bertujuan meningkatkan kesedaran sukarelawan dan kemanusiaan dengan membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan membina rumah bagi golongan ibu tunggal.

Tumpuan misi adalah di Wilayah Banjar Tengah, Kota Jembarana, Bali yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Denpansar.

Perjalanan dari kota Bali itu menggunakan kenderaan darat ke Desa Mendoyo Dauh Tekad mengambil masa kira-kira tiga jam menaiki bas.

Wilayah Kota Jembarana adalah kawasan kampung yang paling ramai penduduk miskin.

Terdapat 25 perkampungan daif yang penduduknya terdiri daripada golongan petani yang mengusahakan sawah padi sebagai sumber makanan rutin harian.

Muhamad Rizan berkata, kesemua mahasiswa Malaysia mengalas tanggungjawab besar walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga.

Namun ia tidak mematahkan semangat mereka menyertai misi kemanusiaan itu di sepanjang program simposium itu berlangsung.

“Walaupun mereka berpuasa ia tidak menjadi penghalang kepada mahasiswa terlibat dengan program kemanusiaan dan kemasyarakatan.

“Selain itu, mereka juga memikul tanggungjawab membentangkan isu-isu berkaitan hak asasi manusia dan kemiskinan melalui perbincangan dalam kumpulan.

“Kita mahu melihat setiap anggota delegasi pelajar Malaysia menyumbang tenaga secara proaktif agar mereka dapat membina keyakinan tinggi selain melalui proses pertukaran idea bersama rakan-rakan dari negara lain,” katanya.

Muhamad Rizan berkata, segala idea dan pandangan yang diutarakan pada program itu diharap dapat dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seterusnya diguna pakai untuk memerangi isu-isu yang dibangkitkan.

Program kemanusiaan itu di anjurkan Humanity Affair, London dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Belia Asrama Malaysia (MYHA).

Matlamatnya ialah menggarap penglibatan mahasiswa antarabangsa untuk terlibat dengan misi-misi keamanan dunia tanpa sempadan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »