Istanbul, 21 Disember 2012 – Perkongsian pengalaman oleh IHH (THE FOUNDATION FOR HUMAN RIGHTS AND FREEDOM AND HUMATARIAN RELIEF) menghantar misi bantuan kemanusiaan merupakan sesi yang amat dinantikan oleh Delegasi Misi Keamanan Sejagat – MBM ketika mengadakan pertemuan di pejabat IHH pada jam 11 pagi waktu tempatan.
Delegasi ini disambut mesra oleh Sdri. Nalan DAL, Penyelaras Perhubungan IHH selaku wakil IHH menceritakan peranan IHH dalam memperjuangkan kemanusiaan sejagat dan pengalaman beliau semasa berkhidmat di Pakistan selama 11 tahun. Beliau juga turut berkongsi pengalaman IHH dalam misi bantuan kemanusiaan di terutamanya Negara-negara yang dilanda bencana seperti di Iran, Sri Lanka serta di dalam negaranya sendiri iaitu Turki.
Sdri. Nalan DAL turut menjelaskan setiap pertubuhan mempunyai visi dan misi perjuangan yang berbeza walaupun melibatkan aspek bantuan kemanusiaan. Walaupun begitu, kita jangan berputus asa untuk membina kepercayaan dalam sesebuah organisasi dan sekiranya berlaku kolaborasi kerjasama dalam pertubuhan ini maka akan berlaku impak yang lebih besar. Untuk itu, kita perlu memahami dan mendekati, menyokong dan turut serta dalam meneruskan niat murni membantu mangsa-mangsa yang mermerlukan bantuan.