MAJLIS BELIA MALAYSIA

Minda: Tanggungjawab daulat bahasa Melayu

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang akan menganggotai Panel Pemantauan Penggunaan Bahasa Kebangsaan pada 28 Jun lalu.

Pelantikan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dikuatkuasakan secara menyeluruh dalam urusan rasmi di negara ini.

Pelantikan ini adalah pengiktirafan kepada usaha MBM yang secara konsisten mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Komitmen ini juga selari dengan pendirian MBM yang akan mempertahankan asas-asas kenegaraan kerana ia adalah dasar penubuhan serta perjuangan MBM sejak 64 tahun yang lalu.

Dengan pelantikan ini, MBM akan memastikan keseluruhan 40 Badan Gabungan MBM akan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan secara menyeluruh dalam setiap urusan rasmi dalam negara termasuk penulisan surat-menyurat, ucapan, penyediaan kertas kerja dan dokumen surat perjanjian.

Ia juga akan meliputi penyediaan banting, poster dan brosur yang dikeluarkan pihak MBM.
MBM juga akan memanjangkan usaha ini kepada kira-kira 8,000 persatuan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia.

Dalam masa sama, MBM akan menulis surat kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia agar hal ini dapat dikuatkuasakan selaras dengan surat pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

Pendirian MBM ini akan diusulkan kepada seluruh badan gabungan MBM yang dijangka bersidang pada hujung bulan September tahun ini.

Melalui pendirian ini, MBM dan badan gabungan berhak menolak sebarang urusan dan kerjasama yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Namun begitu, MBM terlebih dulu akan mewujudkan garis panduan dengan mengambil kira keperluan penggunaan bahasa ibunda sesuatu kaum dalam sebarang majlis atau program yang hanya membabitkan keahlian sesuatu kaum tertentu dalam sesebuah pertubuhan.

Komitmen dan pendirian yang akan MBM tetapkan ini bukanlah didorong oleh sifat prejudis atau bias Presiden MBM sebagai seorang Melayu.

Dalam konteks pembinaan negara, ia memerlukan kesanggupan rakyatnya untuk berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, tanpa perasaan berbelah bahagi.

Kesediaan dan kesanggupan setiap orang menerima kewarganegaraan Malaysia mestilah dibuktikan dengan melaksanakan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

Jika tidak, maka ia layak dianggap sebagai seorang warga tidak baik dan gagal memenuhi aspirasi negara.

Ambil saja contoh seorang atlit sukan yang ditaja oleh sesebuah syarikat.

Manfaat yang diterima atlit termasuk wang tajaan dan peralatan sukan boleh ditarik balik serta merta sekiranya atlit gagal meletakkan logo syarikat pada jersi atau peralatan sukan yang digunakan.

Atlit tersebut juga mesti memberikan komen dan kenyataan yang positif terhadap syarikat atau produk menajanya.

Ia adalah contoh betapa perlunya sifat kesetiaan seseorang atlit kepada pihak yang menaja.

Justeru, dalam konteks negara sudah pasti menjadi kewajipan kepada setiap rakyat untuk setia dan akur kepada undang-undang disediakan.

Adalah amat malang apabila pada usia hampir 55 tahun kemerdekaan negara masih terdapat rakyatnya gagal untuk bercakap menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan baik.

Lebih malang lagi apabila terdapat belia berusia bawah 40 tahun masih tidak faham dan tidak boleh bercakap menggunakan bahasa Melayu.

Adalah amat mustahil jika hal ini terjadi sedangkan mereka adalah produk daripada sistem pendidikan yang sama.

Masih ramai orang berasakan bahasa Melayu hanya untuk orang Melayu.
Malah, bukan sedikit orang Melayu yang berasa malu dan bodoh apabila terpaksa menuturkan bahasa berkenaan.

Kesannya Bahasa Kebangsaan kelihatan kurang jiwa dan hilang sambutan.

Jika anda masih kurang percaya dengan pandangan penulis, silalah buat pengamatan sendiri.

Lebih buruk lagi terdapat mesyuarat peringkat jabatan kerajaan menggunakan bahasa Inggeris sedangkan semua ahli mesyuarat adalah rakyat Malaysia.

Jika dijenguk ke dalam bilik mesyuarat syarikat korporat lebih teruk.

Penulis pernah menghadiri mesyuarat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana kehadiran sepenuhnya rakyat Malaysia dan pembentang kertas kerja cuba membentangkannya menggunakan bahasa Inggeris yang teruk.

Nampak beliau begitu ‘derita’ untuk menyelesaikan pembentangan selama 15 minit sedangkan beliau begitu lancar berbahasa Melayu pada sesi minum pagi.

Rupa-rupanya terdapat polisi syarikat menetapkan agar pembentangan itu dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Hal sedemikian berpunca daripada kegagalan sesetengah kita yang tidak memiliki jiwa patriotik.

Maka keputusan dan pelaksanaan operasi juga hilang jiwa kebangsaan.

Bukan menjadi rahsia lagi apabila kebanyakan GLC ini lebih banyak melaburkan wangnya kepada promosi dan iklan dalam bahasa Inggeris berbanding Bahasa Kebangsaan.

Iklan tawaran kerja untuk rakyat Malaysia tetapi bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris.

Secara langsung sebenarnya syarikat inilah yang menyumbang kepada kegagalan mencapai agenda nasional melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Kesannya adalah amat besar. Bahasa Melayu akan hilang nilai komersil dan ekonomi.

Penggunaan Bahasa Kebangsaan mesti dikuatkuasakan dengan serius oleh semua pihak.

Penulis bimbang dengan masa depan negara ini yang akan hilang jati diri apabila rakyatnya sendiri keliru dan gagal mengenal akar bangsanya.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Sebab itulah MBM mempertahankan keputusan kerajaan membatalkan PPSMI dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ini bukan bermakna MBM mengambil langkah mengundur ke belakang dengan mengetepikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »