MAJLIS BELIA MALAYSIA

Minda: Jirus amarah dengan maaf

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

BERITA kejadian seorang guru yang juga warden sekolah agama mendera murid sehingga koma dan meninggal dunia pada tahun lalu amat mengejutkan. Baru-baru ini, keadilan ditunaikan apabila warden muda berusia 27 tahun itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 17 tahun.

Berdasarkan keterangan di mahkamah, kanak-kanak malang itu diikat dan dicekik warden berkenaan dalam usaha untuk menyiasat kejadian kecurian di dalam asrama sekolah terbabit. Tidak tergambar bagaimana seorang kanak-kanak kecil berusia tujuh tahun diperlakukan sedemikian rupa sehingga menemui ajal.

Timbul juga persoalan bagaimana seorang guru yang sewajarnya membawa watak ilmuan dan warak boleh bertukar watak kepada seorang penjenayah ganas. Sedangkan sepatutnya dia menjadi seorang pelindung dan pembimbing kepada anak muridnya. Kalau pun kanak-kanak malang itu sememangnya bersalah, perbuatan ganas itu bukan satu hukuman adil bagi kesalahan berkenaan.

Satu kebimbangan yang harus kita berikan perhatian dalam kalangan anak muda ialah mengenai kegagalan mengawal kemarahan. Banyak kejadian pergaduhan jalanan, konflik di kolej atau tempat kerja berakhir dengan kecederaan, malah kematian ekoran rasa amarah yang tidak dapat dikawal dan disusuli rasa dendam yang memuncak. Amatlah menyedihkan apabila usia muda mereka berakhir di tali gantung atau di sebalik sel tahanan bagi tempoh lama hanya kerana satu insiden yang berpunca daripada kemarahan.

Usia muda memang tidak dapat lari daripada darah muda yang sentiasa panas. Orang muda amat berkait rapat dengan identiti agresif, terus terang dan radikal. Orang muda pantang dicabar dalam hal berkaitan pendirian dan hak. Keghairahan mempertahankan pendirian dan hak ini kadang-kadang memerangkap mereka sehingga sanggup mengetepikan norma masyarakat serta undang-undang sedia ada.

Kemarahan adalah masalah hati yang harus diurus dan dirawat segera. Kesan kemarahan bukan saja kepada orang di sekeliling seperti kecederaan fizikal atau pun juga kematian. Namun lebih mendalam lagi ia mampu menjejaskan kualiti hidup serta kesihatan pelakunya.

Seorang penolong profesor dalam bidang perubatan, Ichiro Kawachi, menulis artikel bertajuk ‘Anger is Hostile To Your Heart’ yang diterbitkan di Harvard Gazzette. Beliau bersama kumpulan penyelidiknya secara saintifik membuktikan bahawa kemarahan adalah sangat berbahaya dan mampu menjejaskan kesihatan jantung.

Justeru amat penting bagi golongan belia mempunyai kesedaran mengenai pentingnya mengawal amarah diri dan mengelak daripada terjerumus kepada situasi yang lebih menyukarkan. Kemarahan yang tidak terkawal akan menyebabkan imej diri seseorang belia rosak dan keseluruhan hidupnya diselubungi persepsi negatif orang sekeliling.

Sebaliknya, individu yang mampu mengawal kemarahan akan dilihat unggul dan hebat. Hakikat ini adalah berpadanan dengan maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim: “Seorang yang kuat bukanlah yang mampu menewaskan musuhnya melalui pertempuran, tetapi ialah bagi mereka yang mampu mengawal dirinya sewaktu berada dalam keadaan marah.”

Sebenarnya jawapan mudah bagi mengawal kemarahan ialah dengan memberi kemaafan. Sering kali kita dimomokkan dengan kata-kata bahawa seorang yang pemaaf adalah lemah dan dayus. Terdapat sebilangan anak muda yang terperangkap dengan dendam kesumat dan berikrar tidak akan memaafkan kesalahan orang lain dan menganggap orang berkenaan sebagai musuh sehingga ke akhir hayat.

Orang yang berfikiran sedemikian adalah individu yang terpesong daripada norma sebenar kemanusiaan. Semua orang harus ada kesedaran bahawa sebagai manusia biasa kita terdedah kepada kekurangan diri dan membuat kesalahan. Rasa amarah dan dendam hanya membuka kepada ruang kesalahan demi kesalahan yang seterusnya tanpa kesudahan.

Dalam sejarah ketamadunan manusia, sifat amarah dan dendam ini bukan sekadar mengakibatkan kematian, tetapi juga peperangan yang menghancurkan dunia ini.

Dr Frederic Luskin dalam bukunya bertajuk ‘Forgive for Good’ menyatakan bahawa kemaafan adalah satu resipi yang terbukti berkesan untuk mencapai tahap kesihatan dan kegembiraan yang diinginkan dalam setiap kehidupan manusia.

Menurut beliau, kemaafan akan mewujudkan unsur positif dalam pemikiran manusia seperti memberikan harapan, kesabaran dan keyakinan diri melalui pengurusan kemarahan, rasa terseksa dan tekanan.

Seseorang belia yang mampu menguasai kemahiran mengawal kemarahan dan menjadi pemaaf sejak usia muda sebenarnya menjanjikan satu jalan hidup ke hadapan yang lebih tenang dan penuh kematangan. Mereka akan terhindar daripada rasa dendam dan permusuhan.

Terdapat sebuah peribahasa Inggeris berkaitan kemaafan iaitu ‘when you do not forgive, it will chew you up’. Suatu kisah yang amat hebat dan harus diteladani orang muda berkaitan kemaafan ialah peristiwa yang dilalui Nelson Mandela iaitu bekas Presiden Afrika Selatan.

Mandela melalui pengalaman meringkuk di penjara selama 27 tahun dalam perjuangan beliau mengetuai gerakan membebaskan kekejaman pemerintahan apartheid terhadap rakyat kulit hitam di Afrika Selatan. Sepanjang tempoh berkenaan, beliau kehilangan kebebasan, ahli keluarga serta keselesaan hidup dan melalui penyeksaan yang amat berat.

Sesuatu yang sangat mengejutkan ketika beliau memegang kuasa sebagai presiden ialah beliau tidak mengenakan sebarang tindakan balas ke atas pemimpin apartheid sedangkan beliau mampu dan layak melakukannya sebagai satu hukuman.
Di antara pendirian beliau yang sangat memberi inspirasi buat kita ialah apabila dengan tegas beliau mahu memaafkan perbuatan orang kulit putih itu kerana tidak mahu rasa dendam dan kesakitan yang dilaluinya dulu kekal dan menghantui kehidupan beliau untuk masa akan datang.

Dengan pendirian itu, Mandela mengelakkan berlakunya kejadian pertumpahan darah ekoran perbuatan balas dendam. Prinsip dan pendirian Mandela berjaya membawa Afrika Selatan jauh ke hadapan berbanding negara jiran lain di benua berkenaan. Sebagai menghargai peranan dan sikap pemaaf yang unggul ini, Mandela menerima anugerah Nobel Keamanan Dunia.

Dalam konteks Malaysia yang majmuk ini, sifat memaafkan adalah kunci kepada sikap toleransi dan keharmonian masyarakat kita. Bak kata pepatah, ‘sedangkan lidah lagi tergigit’ yang memberikan makna mendalam agar kita sentiasa bersifat bertolak ansur dan menerima kesalahan yang dilakukan orang lain.

Lama-kelamaan akan timbul kesedaran bagi seorang pelaku kesalahan untuk sedar daripada kesalahannya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki segala kesilapan lampau secara sukarela.

Seseorang belia yang memiliki sifat pemaaf akan menjadi harta paling bernilai buat masyarakat kita. Individu ini akan disenangi dan boleh disandarkan untuk menjamin masa depan negara yang terus aman dan harmoni. Seseorang yang mampu menghulurkan salam kemaafan sentiasa meletakkan kedamaian sebagai asas perjuangannya.

Namun, memaafkan tidaklah semudah menyebutnya. Selagi diri dikuasai sifat ego, bongkak dan sombong, memaafkan orang lain adalah perkara paling akhir akan dilakukannya. Pemupukan sifat murni ini perlu bermula pada usia muda agar ia menjadi nilai kekal hingga ke akhir hayat.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »