Oleh Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee
SAMBUTAN kemerdekaan ke-55 tahun negara kita masih segar terasa. Kali ini berlangsung secara sepenuhnya pada 31 Ogos 2012. Penulis sendiri bertolak ke Dataran Merdeka pada jam 5.30 pagi untuk menyertai perbarisan mewakili golongan belia. Tidak rugi datang awal sebelum Subuh kerana boleh memandu masuk dan meletak kenderaan berdekatan Masjid Negara.
Sebaik saja selesai solat Subuh boleh pula menikmati sekeping roti canai dan teh tarik buat bekalan untuk perbarisan. Mereka yang lewat sudah pasti terpaksa menapak jauh dari tempat letak kenderaan di luar lokasi bersejarah ini.
Apapun, sambutan yang gilang gemilang ini adalah hasil kejayaan semua pihak khususnya peserta perarakan yang berlatih sejak awal bulan Ramadan lalu.
Keinginan untuk memberikan erti merdeka mendorong kanak-kanak prasekolah, penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tinggi kerajaan, pasukan beruniform, pekerja swasta, artis kebudayaan serta atlet negara bergabung tenaga untuk mewarnai sambutan.
Sememangnya jika sesiapa tiada semangat dan keinginan tinggi pasti tidak sanggup berkumpul seawal jam 4 pagi dengan mata separuh terpejam dan memakai kostum yang berbagai corak serta warna.
Memetik kata-kata Azlan Iskandar, jaguh skuasy lelaki negara yang turut sama ‘melepak’ di kaki lima Bangunan Dayabumi menunggu acara bermula menyatakan bahawa segala yang dilakukan adalah mengenai hati dan jiwa sebagai rakyat Malaysia.
Tanpa rasa ikhlas dan keghairahan mencintai negara, pembabitan sedemikian akan dianggap membuang masa dan tenaga. Ikon Belia Malaysia ini berasa agak kecewa dengan sikap segelintir individu yang dilihat terlalu banyak ‘meminta’ berbanding ‘memberi’ kepada negara ini.
Sesungguhnya semua orang harus mencontohi seorang lagi Ikon Belia iaitu Zharrif Afendi, usahawan muda orang kelainan upaya (OKU) yang kreatif dan tabah. Beliau yang memegang moto ‘Bagi Baru Dapat’, yang menunjukkan bahawa untuk menikmati kemakmuran dan kemewahan negara ini harus dimulakan dengan usaha menyumbang dan memberi kepada negara serta masyarakat.
Sambutan kemerdekaan kali ini juga membuktikan sekali lagi betapa golongan muda menjadi tumpuan. Di samping persembahan yang berjiwa muda dan ucapan Perdana Menteri yang banyak menyentuh peranan generasi muda, penulis melihat jelas akan mesej yang ingin disampaikan pihak penganjur melalui anugerah keusahawanan yang dipaparkan iaitu kerajaan mahu tenaga muda membangunkan negara melalui kerjaya keusahawanan!
Dalam memenuhi matlamat untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, semangat keusahawanan yang tinggi di kalangan belia amat diperlukan.
Mereka adalah majoriti yang bakal memacu negara ke arah matlamat tersebut. Namun, satu persoalan perlu kita letakkan di hadapan ialah sejauh manakah belia Generasi Y kita bersedia untuk meletakkan diri menjadi pemain global industri, terutama dalam bidang keusahawanan?
Belia perlu mula berani mengambil risiko dan menerokai dunia keusahawanan, terutama menceburi perniagaan berasaskan teknologi dan inovasi, yang mampu membawa produk mereka ke peringkat global. Dengan pendidikan tinggi berbanding dengan generasi terdahulu, ia perlu dimanfaatkan untuk meneroka bidang baru atau memulakan perniagaan dengan cara baru dan bersifat global.
Mereka perlu mencontohi dan mengambil inspirasi daripada syarikat gergasi seperti Google, Apple, HP, Yahoo, Starbucks, Dell, Amazon dan lain-lain yang dimulakan oleh golongan belia.
Keusahawanan belia di Amerika Syarikat
Penulis yang baru pulang dari Amerika Syarikat menyertai perhimpunan belia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sempat menyaksikan contoh praktis terbaik semangat keusahawanan dalam kalangan belia di negara itu.
Kajian oleh The Global Entrepreneurship Monitor menunjukkan belia berumur 18-24 tahun di Amerika memulakan perniagaan dengan kadar yang lebih pesat daripada mereka yang berumur 35-44 tahun.
Sebagai contoh, Sean Belnick, seorang remaja berusia 14 tahun dari Georgia memulakan perniagaan perabot pejabat secara terus kepada pembeli pada 2001 melalui laman webnya BizChair.com dengan bermodalkan AS$500. Hari ini beliau merekodkan nilai perniagaan AS$24 juta.
Pada usia seawal 18 tahun, Ziver Berg, pengasas Zivelo, bermula dengan laman web AffordableKiosks.com, satu pasaran dalam talian untuk pembuat kios elektronik. Zivelo hari ini adalah pembuat kios elektronik kedua terbesar di dunia.
PharmaSecure yang diasaskan pemuda berusia 28 tahun, Nathan Sigworth membantu syarikat farmaseutikal di India membanteras ubat tiruan. Setiap botol ubat mempunyai nombor siri yang boleh disahkan melalui telefon bimbit.
Terdapat banyak lagi contoh serta paparan kejayaan seperti di atas dan dengan ini kita dapat melihat bagaimana perniagaan mereka berkembang dengan pesat dalam masa yang singkat apabila menggunakan teknologi.
Ledakan teknologi membuatkan kaedah pemasaran menjadi sangat mudah dan murah. Teknologi banyak mengurangkan kekangan awal untuk memulakan sesebuah perniagaan. Sebelum perkembangan teknologi maklumat, sesuatu produk memerlukan berdekad lamanya untuk bertapak dengan selesa di pasaran.
Peranan kerajaan dan modal teroka
Tidak dinafikan kerajaan banyak mewujudkan dana untuk usahawan muda memulakan perniagaan. Tetapi adakah kerajaan masih perlu membantu jika sesebuah perniagaan memerlukan modal lebih besar tatkala pinjaman bank sukar didapati kerana masih di peringkat permulaan dan tidak kos efektif? Di sini perlunya peranan dana daripada syarikat modal teroka dan ‘angel investors’.
Sokongan daripada dana sebegini dibuktikan sangat penting dalam membantu pertumbuhan awal perniagaan, terutama berasaskan teknologi.
Oleh itu, peranan kerajaan tahap ini ialah menarik sebanyak mungkin syarikat modal teroka ke negara ini atau memberikan pelepasan cukai kepada mereka yang menghulurkan modal.
Di Amerika Syarikat contohnya, syarikat modal teroka melaburkan AS$29.1 bilion sehingga suku keempat 2011, menurut laporan National Venture Capital Association.
Sebanyak 11% pekerjaan daripada sektor swasta di Amerika pula disumbangkan oleh perniagaan ditunjangi oleh syarikat modal teroka.
Kesimpulannya semangat keusahawanan yang tinggi dan kemahuan untuk bersaing dalam kalangan belia akan dapat membantu melonjakkan ekonomi dari segi penambahan peluang pekerjaan dan pendapatan perkapita negara, seterusnya menyumbang kepada mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.
Justeru, semua pihak harus mengubah persepsi ke atas sebarang daya usaha anak muda untuk memulakan perniagaan. Ibu bapa harus berlapang dada memperuntukkan sedikit modal awal bagi menyokong minat anak mencari pendapatan sendiri melalui usaha perniagaan walaupun saiznya sekecil kios menjual burger.
Pertubuhan belia pula jangan hanya memberi fokus kepada program kesedaran dan aktiviti jangka pendek. Kini tiba masa untuk kita mengorak langkah kepada usaha pencarian dana untuk pelaburan dan penyertaan ekonomi bernilai tinggi.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM