KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik usaha memperkenalkan Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) bagi memupuk nilai moral dan semangat patriotisme tinggi dalam kalangan belia.
Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hasan, berkata inisiatif diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu dilihat sebagai penyatuan beberapa program sebelum ini seperti Kursus Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Beliau berkata, pelaksanaan MFLS sekali gus dapat mengelakkan pembaziran berikutan ada beberapa program dengan konsep sama dibangunkan sebelum ini.
“Kali ini, objektifnya lebih jelas untuk melahirkan belia lebih baik, matang dan memberi manfaat kepada negara pada masa depan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, semalam, berkata program baharu itu akan membabitkan 70,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun dengan peruntukan RM70 juta.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahayuddin, turut mengalu-alukan pengumuman berkenaan.
Dalam konteks sama, beliau berkata, yayasan itu akan terus membantu usaha membangunkan modal insan Malaysia yang berdaya saing melalui pelaksanaan program menerapkan nilai patriotisme dan murni serta kemahiran insaniah.