KUALA LUMPUR 3 September – Mesyuarat Penyelarasan Pertandingan Debat Piala Presiden Majlis Belia Malaysia 2026 telah berlangsung di Wisma Majlis Belia Malaysia.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi menyelaras persiapan awal penganjuran Pertandingan Debat Piala Presiden MBM 2026 yang merangkumi aspek syarat penyertaan, peraturan pertandingan, keperluan teknikal serta perancangan keseluruhan program.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penyediaan bajet yang diperlukan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pertandingan, termasuk aspek pengurusan, logistik, hadiah, promosi serta keperluan berkaitan penganjuran. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan strategi promosi dan hebahan pertandingan bagi memastikan penyertaan yang lebih meluas dalam kalangan belia serta meningkatkan keterlihatan program kepada sasaran peserta dan masyarakat umum.
Turut dibincangkan ialah cadangan lokasi pertandingan yang bersesuaian serta perancangan perjalanan program bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan dapat disusun dengan lebih teratur dan berkesan.
Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperincikan mekanisme pelaksanaan Pertandingan Debat Piala Presiden MBM 2026 agar segala persiapan dapat dilaksanakan secara sistematik serta memenuhi objektif penganjuran.
Turut hadir ialah Syafiq Ridzwan Jamaluddin, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, wakil Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta wakil sekretariat MBM.
Penganjuran Pertandingan Debat Piala Presiden MBM 2026 diharap dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia, memperkasakan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis, di samping melahirkan generasi muda yang berani berhujah serta berwibawa.





