PUTRAJAYA 6 Mei – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid yang dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) telah menghadiri Mesyuarat MPPN Bil. 1 Tahun 2025 bertempat di Putrajaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri membincangkan beberapa ketetapan antaranya mengenai kajian isu perpaduan daripada aspek keselamatan yang dibentangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam mendepani cabaran isu sentimen 3R, mesyuarat bersetuju agar tindakan bersepadu dan kolaborasi inter-agensi digerakkan secara efektif agar isu 3R dapat ditangani secara berkesan. Pendekatan Alert, Sensitive, Engagement dan Control akan menjadi kaedah utama dalam menangani isu sensitif di negara ini.
Jabatan Latihan Khidmat Negara telah membentangkan mengenai pelaksanaan semula PLKN melibatkan warganegara berumur 17 hingga 35 tahun. Kerajaan telah membuat ketetapan agar latihan asas PLKN 3.0 di IPTA, Politeknik, dan IPG bermula dari pengambilan pelajar bagi sesi akademik 2026/2027. Langkah ini menandakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara dengan memasukkan elemen latihan asas yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan sebelum mereka melangkah ke dunia profesional.
Hasil perbincangan mesyuarat MPPN ini akan diangkat untuk makluman dan persetujuan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Hadir sama dalam mesyuarat ini Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.
Kredit gambar : FB @Kementerian Perpaduan Negara








