KUALA LUMPUR 11 September – UCSI Group telah mengadakan Mesyuarat Konsultasi Regional Center of Expertise Greater Kuala Lumpur (RCE GKL) kali ke-2 secara dalam talian bagi memaklumkan semua pemegang taruh mengenai status terkini RCE-GKL dan mencalonkan jawatan kuasa penyelaras bagi setiap kluster yang telah dikenal pasti berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan fungsi.
RCE diiktiraf oleh United Nations University Institute of Advanced Studies (UNU-IAS) yang berpangkalan di Tokyo, Jepun berperanan membangunkan program pendidikan dan penyelidikan yang inovatif bagi mewujudkan platform untuk dialog yang berkesan dengan pihak berkepentingan tempatan melalui perkongsian matlamat dan menyumbang kepada pencapaian objektif SDG Bangsa-bangsa Bersatu selaras dengan ketetapan United Nations Education, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) melalui Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD).
Setakat ini, terdapat 175 RCE di seluruh dunia dan 5 di Malaysia. RCE GKL akan menjadi RCE yang ke-6 di Malaysia. Sebagai salah satu pemegang taruh RCE GKL, MBM telah menyertai kedua-dua mesyuarat yang diadakan secara dalam talian.
Mesyuarat yang pertama telah diadakan pada 24-26 Jun 2020 secara dalam talian dan dibahagikan kepada beberapa sesi mengikut kluster dan fungsi bagi tujuan suai kenal di antara wakil pemegang taruh dan percambahan idea mengenai RCE-GKL yang akan diusulkan UNU-IAS. Antara SDG yang menjadi fokus RCE GKL adalah SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan terhadap Iklim) dan SDG16 (Keamanan, Keadilan dan Keutuhan Institusi).
Mesyuarat kali kedua ini telah disertai oleh wakil pengurusan UCSI, ahli-ahli akademik dan kepimpinan NGO. Sdr. Thai Ming Yeow, Felo Penyelidik MBM telah mewakili MBM dan Persatuan Dhammaduta Malaysia (BMSM) untuk menyertai kedua-dua mesyuarat tersebut. Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai status penghantaran usul kepada UN-IAS, kerjasama antara RCE di Malaysia, penerangan tentang struktur dan peranan pengurusan serta pencalonan ahli-ahli jawatankuasa untuk setiap kluster. RCE GKL ini dipengerusikan oleh cik Norani Abu Bakar, Pengarah Eksekutif Sekretariat SDG UCSI dan dibantu oleh Sdr. Thai Ming Yeow yang turut terlibat dalam Kluster SDG 16 serta Penyelidikan dan Pembangunan. Manakala Sdr. Eow Shiang Yen, Setiausaha Jawatan Kuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Pengguna telah dicalonkan untuk menyertai Kluster Pembangunan Kepimpinan Belia dan SDG 16. Diharap MBM dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pencapaian objektif SDG melalui penglibatan dalam RCE GKL.