SENDAYAN 6 Mei – Dalam memastikan kelancaran penganjuran Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2026, satu mesyuarat penyelarasan dan sesi lawatan tapak telah diadakan di d’Tempat dan X Park, Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.
Sesi berkenaan melibatkan kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diketuai oleh YB Menteri Belia dan Sukan bersama YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada penyelarasan akhir gerak kerja serta penilaian persiapan lokasi penganjuran menjelang sambutan HBN 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Mei ini.
Lawatan turut memberi peluang kepada pihak penganjur untuk meninjau kesiapsiagaan fasiliti, susun atur program serta aspek logistik bagi memastikan pengalaman terbaik dapat diberikan kepada para pengunjung dan belia dari seluruh negara.
Hari Belia Negara edisi ke-62 ini bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting pengiktirafan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan anak muda dalam pembangunan negara. Sambutan ini juga bakal menjadi pentas buat golongan belia untuk berkarya, beraksi dan menyuarakan aspirasi mereka.
Turut hadir ialah Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS; Pn. Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN); Sdr. Khairul Azman Azeez, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hari Belia Negara; Sdri. Jessy Ng, Naib Presiden MBM serta Sdr. Syahmi Shamsudin, Penolong Setiausaha Agung II MBM.
Penganjuran HBN 2026 dijangka menghimpunkan ribuan belia dari seluruh negara menerusi pelbagai pengisian menarik melibatkan kepimpinan, sukan, kesukarelawanan, keusahawanan, seni budaya dan gaya hidup belia.





