Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
KUALA LUMPUR 2 September 2013 – Persidangan Meja Bulat: Pergolakan Demokrasi di Mesir-Perspektif Generasi Muda yang diadakan hari ini bersetuju bahawa Malaysia boleh berperanan untuk menyelesaikan pergolakan di Mesir.
Ketetapan itu antara lapan Deklarasi Belia Malaysia Terhadap Pergolakan Demokrasi di Mesir hasil persidangan meja bulat yang dianjurkan Majlis Belia Malaysia (MBM) serta Jabatan Belia dan Sukan Negara yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa di ibu negara.
Deklarasi berkenaan diserahkan Presiden MBM, Mohamed Maliki Rafie kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang hadir pada sesi penutup persidangan itu.
Dalam ucapannya Khairy berkata, deklarasi itu akan diserahkan kepada Kabinet Rabu ini.
“Kita perlu ada pendirian dalam isu sejagat dan isu hak asasi manusia serta berpendirian sebagai rakyat Malaysia, barulah kita akan dihormati oleh negara antarabangsa.
“Jangan lupa walaupun suara kita kecil, kalau tidak ada suara mengecam hak asasi manusia, kita tidak akan lihat rejim apartied di Afrika Selatan ditumbangkan,†kata Khairy.
Jelas Khairy, kerajaan Malaysia sudah pun membuat ketetapan keras mengenai Mesir dan juga Syria berhubung penggunaan senjata kimia di negara itu serta berpendirian bahawa Amerika Syarikat tidak perlu melancarkan serangan ke atas Syria.
DEKLARASI BELIA MALAYSIA TERHADAP PERGOLAKAN DEMOKRASI DI MESIR
1. Menegaskan bahawa Belia Malaysia mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya apa jua bentuk keganasan, kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia dan demokrasi di Mesir.
2. Menggesa Kerajaan Malaysia dan mana-mana kerajaan dunia mengecam pencabulan hak asasi dan demokrasi di Mesir.
3. Menggesa OIC dan Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan bersepadu bagi menyelesaikan pergolakan yang berlaku di Mesir.
4. Menegaskan pendirian bahawa pergolakan di Mesir merupakan isu Demokrasi dan kemanusiaan yang merupakan isu sejagat yang perlu diperjuangkan dan dipertahankan oleh seluruh dunia.
5. Menggerakkan usaha kerjasama semua negara untuk membangun dan melaksanakan langkah yang efektif dan berkesan bagi membantu menyelesaikan isu sosioekonomi di Mesir.
6. Menggesa Liga Arab mengadakan persidangan tergempar sebagai usaha kerjasama untuk menyelesaikan isu keselamatan di Mesir.
7. Bersetuju bahawa Malaysia boleh berperanan untuk membantu menyelesaikan pergolakan di Mesir.
8. Menggesa supaya keseragaman media massa dalam menyampaikan maklumat dan laporan yang lebih tepat dan telus terhadap krisis Mesir kepada masyarakat dunia.
Seramai 5 pembentang membentangkan kertas kerja di persidangan berkenaan.– UTUSAN ONLINE