MAJLIS BELIA MALAYSIA

Merungkai Kembali Isu Had Umur Belia Di Malaysia

Oleh:

Mohd Fauzi Hj. Fadzil

Felo Penyelidik Pejabat Presiden

Majlis Belia Malaysia

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) adalah rakan kongsi strategik dalam bidang pembangunan Belia di Malaysia, kedua-dua organisasi seperti sebuah tubuh yang berfungsi hasil kerjasama demi mencapai sesuatu objektif. Sudah pasti hubungan kedua-dua organisasi ini seperti hubungan adik-abang yang ada pasang-surutnya namun hubungan tetap kekal tersimpul dan tidak mungkin diputuskan, antara isu yang menjadi perbincangan adik-abang tersebut buat masa ini adalah berkenaan perlaksanaan definisi had umur belia yang dipinda dalam Akta 668 pada tahun 2019 dengan mengubah definisi umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Isu had umur belia ini mula dibincangkan semenjak sebelum tahun 2007 apabila Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) mula diperkenalkan, pada waktu tersebut MBM-KBS telah mencapai kata sepakat untuk mendefinisikan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun memandangkan sebelum Akta 668 diperkenalkan tiada definisi had umur rasmi dibentuk yang merujuk kepada had umur belia. Menjelang tahun 2015, Dasar Belia Malaysia (DBM) pula diperkenalkan oleh mantan Menteri KBS iaitu Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. DBM membawa visi baru dalam menterjemahkan had umur belia apabila cuba menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dalam tempoh masa 5 tahun (DBM diperkenalkan pada tahun 2015 dan menuntut had umur belia 30 tahun dilaksanakan pada tahun 2020). Pada waktu ini berlaku perdebatan yang hangat antara MBM-KBS dalam perlaksanaan had umur 30 tahun untuk definisi belia. KBS membawa hujah pensetaraan had umur belia Malaysia dengan had umur belia di peringkat antarabangsa, Malaysia adalah negara yang mendefinisikan had umur belia pada tahap yang paling tinggi jika dibandingkan negara-negara lain (negara-negara di benua Afrika adalah yang kedua tertinggi dalam mendefiniskan had umur belia iaitu pada tahap 35 tahun). Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) juga mendefinisikan had umur akhir belia sekitar 24 tahun. Namun MBM membawa sudut pandang yang sedikit berlainan, kepimpinan MBM sekitar tahun 2015-2020 pada dasarnya bersetuju untuk menurunkan had umur belia di Malaysia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, namun ia perlu dilakukan secara berperingkat dan mendahulukan sistem sokongan kepada pertubuhan belia sebelum pindaan had umur dilakukan. Penurunan had umur tersebut perlu dilakukan dengan memastikan pertubuhan-pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM mempunyai akses terhadap kaderisasi sehingga ke peringkat sekolah dan mempunyai kualiti kepimpinan baru yang sudah cukup terlatih. Jika penurunan had umur itu dilakukan tanpa mengambil kira isu-isu yang menjadi kebimbangan MBM, dikhuatiri perlaksanaan penurunan had umur belia bakal ‘membunuh’ Pertubuhan-Pertubuhan Belia di Malaysia.

Satu kesepakatan telah dicapai selepas proses rayuan yang mengambil kira perkembangan semasa di akar umbi semasa YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman mengambil alih tampuk kepimpinan KBS iaitu untuk melaksanakan terlebih dahulu had umur 35 tahun. Ia diperkuatkan apabila YB Syed Saddiq mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan had umur 35 tahun ketika ucapan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disaksikan pemimpin belia yang hadir. Namun pada Julai 2019, Akta 668 telah dibawa ke Dewan Rakyat untuk pindaan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun tanpa perbincangan akhir bersama MBM-KBS. Pindaan Akta 668 pada tahun 2019 telah dibawa oleh mantan Menteri KBS iaitu YB Syed Saddiq. Kekecewaan telah diluahkan oleh Presiden MBM kerana beliau sendiri tidak dimaklumkan berkenaan pembentangan penggubalan Akta 668 oleh KBS bahkan tidak dijemput bersama ke Parlimen. Pembentangan untuk penggubalan Akta 668 hanya diketahui oleh Presiden MBM melalui media. Walaupun sedikit terluka dengan layanan yang diberikan dalam isu penggubalan had umur belia, MBM mengambil pendekatan untuk bergerak ke depan dan terus berkerjasama dengan KBS secara profesional.

Kini telah berlaku pertukaran kerajaan dan Menteri KBS baru telah dilantik iaitu Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, beliau adalah antara Menteri KBS yang mempunyai latarbelakang dalam kepimpinan Pertubuhan Belia di mana beliau pernah mengemudi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) selaku Presiden pada tahun 2006 hingga 2009. Beliau mendekati rapat isu penggubalan had umur belia dalam Akta 668 dan beliau adalah antara Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan penurunan had umur belia dalam Akta 668 semasa membahaskan akta tersebut di Dewan Rakyat. MBM memahami bahawa penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun perlu dilakukan kerana DBM telah meletakkan perkara itu sebagai visi yang perlu dicapai, justeru kepimpinan MBM ingin mencadangkan dua perkara untuk dilaksanakan sebelum penurunan had umur belia dilakukan. Cadangan pertama adalah untuk menyediakan ruang kepada Pertubuhan-Pertubuhan Belia yang bernaung di bawah MBM untuk menubuhkan cawangannya di peringkat sekolah menengah. Setakat sekarang hanya beberapa Pertubuhan Belia di bawah MBM yang di beri kebenaran tersebut (Pengakap, Puteri Islam, Pandu Puteri), namun majoriti Pertubuhan Belia lain tidak mempunyai kelebihan tersebut menyebabkan pengkaderan kepimpinan belia tidak dapat dilakukan terhadap belia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun. Cadangan kedua MBM adalah untuk mewujudkan konsep Pemimpin Belia di dalam Akta 668, konsep baru ini merujuk kepada individu yang memegang jawatan dalam Pertubuhan Belia. Pemimpin Belia boleh didefinisikan sebagai individu yang berumur 15 hingga 35 tahun manakala Belia boleh didefinisikan sebagai individu yang berumur 15 hingga 30 tahun. Melalui kewujudan konsep Pemimpin Belia di dalam Akta 668 maka definisi belia dapat dilaksanakan tanpa kebimbangan daripada MBM berkenaan isu pelapis kepimpinan belia. Namun perkara ini perlu diperhalusi kerana ia melibatkan persoalan undang-undang.

MBM juga berharap agar pihak KSB melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) membuat kajian bagi meninjau kesiapsiagaan pertubuhan belia akar umbi untuk menyediakan pelapis di bawah umur 30 tahun.

Bertarikh :  21 Ogos 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »